PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Friday, 17 April 2015

PRK Rompin Bakal Disertai Calon Bebas



Merasakan kawasan Parlimen Rompin memerlukan seorang penyelamat kepada agenda politik dua parti besar menjadikan Mohd Shukri Mohd Ramli terpanggil untuk menjadi calon Bebas Pilihan Raya Kecil Parlimen Rompin, Mei depan.

Mohd Shukri berkata, rata-rata pengundi Parlimen Rompin dilihat semakin keliru dengan senario politik yang berlaku di kedua-dua belah pihak sama ada di dalam BN mahupun Pas.

“Kalau pengundi di pihak BN, mereka nyata keliru dengan isu yang berlaku hari ini melibatkan cukai barang dan perkhidmatan (GST), walaupun mereka penyokong tetapi mereka keliru, sekejap kena sekejap tak kena.

“Langkah tradisi membela rakyat dan rakyat didahulukan, tetapi bila rakyat mula marah isu harga barang naik gara-gara GST sehingga hari ini ia masih berada di takuk yang sama.

“Memeningkan juga pengundi Pas dan PR dengan adanya isu-isu dalaman parti itu sendiri yang berbalah sesama sendiri seperti hudud, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) dan banyak lagi sehingga merosakkan imej Islamik dan keadilan itu sendiri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, kehadirannya dalam pencalonan PRK Parlimen Rompin, Rabu ini adalah untuk menawarkan mereka pilihan ketiga bagi mengelakkan pengundi-pengundi tidak keluar mengundi.

“Saya bimbang pengundi akan protes dengan kekeliruan sehingga tidak keluar memandangkan mereka tidak ada calon untuk mereka pilih, saya tampil sebagai pilihan ketiga membolehkan pengundi BN atau Pas membuat pilihan dan saya adalah penyelamat mereka.

“Andai kata mereka memilih BN, belum tentu masalah GST akan selesai dan jika mereka memilih Pas sama juga masih tidak boleh berbuat apa, tetapi dengan kehadiran saya sebagai calon Bebas segala isu dan suara rakyat akan dinaikkan ke atas," katanya.

Katanya, PRK ini merupakan yang pertama selepas pelaksanaan GST dan ia merupakan satu proses yang begitu getir.

“Jadi ia akan menjadi satu medan perjuangan saya untuk bangkit membela apa yang dibenci oleh rakyat terutama dalam golongan marhaen,” katanya.

Thursday, 16 April 2015

AMK, Pemuda PAS P.Pinang Terus Bertelagah


Pakatan Rakyat (PR) berdepan masalah besar menjelang Pilihan Raya kecil (PRK) Permatang Pauh apabila sayap pemuda parti komponen PAS dan PKR saling serang-menyerang antara satu sama lain.

Terbaru, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menyifatkan Pemuda PAS Permatang Pauh bersifat bodoh dengan membuat kenyataan merosakkan hubungan PR.

"PAS diminta supaya jangan merosakkan imej PKR dan DAP melalui beberapa 'kenyataan bodoh' yang boleh merosakkan hubungan dalam Pakatan Rakyat.

"AMK dengan kerjasama DAPSY (DAP Sosialist Youth) cukup yakin dan percaya tanpa bantuan PAS sekalipun, PKR masih mampu untuk mempertahankan kerusi Permatang Pauh," kata Timbalan Ketua AMK negeri, Khairul Anuar Kamrrudin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pemuda PAS Permatang Pauh yang ingin memboikot kempen PRK Permatang Pauh ekoran kebiadapan AMK mendesak Peresiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang meletakkan jawatan.

Ianya ekoran ketegasn Hadi untuk meneruskan rancangan membentangkan hukum hudud di parlimen yang secara jelas tidak dipersetujui DAP dan PKR.

Ujar Khairul Anuar, AMK boleh menghadapi PRK Permatang Pauh walaupun tanpa kehadiran PAS didalam jentera kempen.

"AMK Negeri Pulau Pinang telah lama bersiap-siaga dan mempunyai jentera yang cukup untuk PRK Permatang Pauh. Ianya sebagai langkah persediaan kerana AMK telah lama menyedari bahawa PAS dibawah kepimpinan Tuan Guru Haji Hadi kini semakin rancak bercakap soal Kerajaan Perpaduan bersama UMNO sehingga sanggup membelakangi keputusan bersama Pakatan Rakyat.

"AMK juga memberi amaran kepada kepimpinan PAS agar segera mengeluarkan kenyataan untuk meninggalkan Pakatan Rakyat sekiranya masih mahu menjalin kerjasama dengan UMNO dan meneruskan perlaksanaan Undang-Undang Hudud di Kelantan," tegas beliau lagi.

Wednesday, 15 April 2015

Shafie: Pihak Terlibat Perlu Beri Penjelasan Kepada Tun M


Isu-isu yang dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad perlu diberi penjelasan secara terperinci oleh pihak yang terlibat bagi meredakan keadaan.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal memberitahu, Kementerian Kewangan khususnya perlu memberi penerangan yang lebih terperinci berkenaan soalan-soalan yang dilontarkan oleh bekas Perdana Menteri itu.

Menurut Shafie, penjelasan terperinci itu sekali gus akan memberi keyakinan kepada kesemua pihak termasuk rakyat di negara ini.

Beliau juga turut menyangkal dakwaan kononnya terdapat isu peribadi antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Dr Mahathir.

“Saya pasti ia tiada kena-mengena dengan jambatan bengkok sahaja, namun terdapat banyak persoalan, penjelasan perlu dibuat.

“Ini penting untuk kita supaya penjelasan itu dapat kita terangkan. Ia akan meyakinkan bukan saja Tun Mahathir malah rakyat juga,” katanya apabila ditemui selepas merasmikan Program Jelajah Kempen Penambahan Ahli Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, secara umum orang ramai sudah ketahui bahawa Kabinet sudah memutuskan tentang penyerahan isu itu kepada badan pengauditan termasuk kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Bagaimanapun, Shafie berpendapat, sementara menunggu hasil pengauditan itu, pihak yang mempunyai maklumat boleh menjelaskan sesuatu untuk menjawab persoalan.

“Di samping itu, adalah penting kepada kita jika ada sesiapa mempunyai maklumat, khususnya Kementerian Kewangan agar dapat menerangkan dengan lebih terperinci tentang perkara-perkara yang dilontarkan,” kata Shafie.

Tuesday, 14 April 2015

Hadi Jelas Hudud Dalam Bicara Minda, Rabu ini



Sejak dibentang dan diluluskan pada sidang Dun Kelantan bulan lalu, isu Enakmen Jenayah Syariah atau hudud yang dibawa Pas kembali hangat diperkatakan hingga kini.

Pelaksanaan hudud yang mendapat tentangan daripada rakan komponennya, DAP dan PKR  itu nyata telah mengeruhkan hubungan dalam pakatan pembangkang tersebut.

Tampil menjernihkan keadaan, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bakal menjelaskan kemelut itu dalam Bicara Minda dan Sesi Dialog Datuk Seri Abdul Hadi Awang anjuran Sinar Harian yang bertajuk “Hudud Dari Kaca Mata Hadi”, Rabu ini.

Bertempat di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf), Seksyen 15, Shah Alam, program tersebut akan berlangsung selama dua jam bermula 2.45 petang hingga 4.45 petang.

Orang ramai dijemput hadir dan membuat pendaftaran awal dengan menghubungi Laila (019-3310211), Fazli (019-2808492) atau Rini (019-3371066) ekoran tempat yang terhad.

Laporan secara langsung boleh diikuti menerusi portal, laman sosial Facebook dan Twitter rasmi Sinar Harian sementara rakaman video boleh ditonton di laman web Sinar TV.

Monday, 13 April 2015

Pembangkang Bercakaran Pilih Ketua Baru



Sebelum dilucutkan keanggotaan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh kerana disabitkan kesalahan liwat, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berkata, survival pembangkang bukan bergantung penuh kepada dirinya.

Sebaliknya, bekas ketua pembangkang dan penasihat PKR itu menyatakan masa depan dan hala tuju pembangkang bergantung kepada kerjasama serta persefahaman antara pemimpin DAP, PAS dan PKR.

Kata Anwar, tanpa persefahaman, toleransi dan keterbukaan tiga pemimpin parti itu, pembangkang tidak mungkin bertahan atau mencapai cita-cita ulung mereka merampas kuasa pemerintahan daripada BN.

Kini, sudah dua bulan Anwar merengkok di penjara dan pembangkang masih belum ada ketua. Jawatan itu kosong apabila Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu.

Sepanjang tempoh itu banyak krisis, konflik dan pergeseran berlaku dalam pakatan pembangkang.

Konflik itu berlarutan sebelum Anwar dipenjarakan. Bermula dengan perbalahan antara DAP dan PAS dalam isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pelaksanaan undang-undang hudud, kegagalan Langkah Kajang, krisis pelantikan Menteri Besar Selangor dan terbaru polemik calon ketua pembangkang.

Dalam soal ini, Ketua Whip DAP, Anthony Loke pernah berkata, pembangkang hanya akan menyelesaikan pelantikan ketua pembangkang selepas pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei ini yang akan ditandingi wakil PKR.

Justeru, sebelum tarikh PRK Parlimen Permatang Pauh diumumkan, ada beberapa calon disebut-sebut untuk menjadi ketua pembangkang sama ada daripada PKR, DAP dan PAS.

Persoalannya, siapakah yang layak? Apakah pembangkang mempunyai kriteria tertentu dalam pemilihan calon ketuanya kali ini? Mungkinkah mereka memilih veteran berpengalaman sebagai Ahli Parlimen seperti Lim Kit Siang atau daripada PAS, termasuk Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang?

Mengikut kelayakan dan kewajaran, ketua pembangkang sepatutnya dilantik daripada DAP memandangkan parti itu mempunyai kerusi terbanyak di Parlimen iaitu 37 berbanding PKR yang kini tinggal 28 daripada 30 yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan PAS (21).

Bermakna, PAS boleh melupakan niat hendak melihat pemimpin mereka diangkat menjadi ketua pembangkang kerana parti itu memiliki kerusi paling sedikit dalam sekutu pembangkang.

Sebelum ini, ada ura-ura mengatakan calon paling layak menggantikan Anwar selain isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ialah orang kepercayaannya iaitu Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Turut menjadi perhatian ialah Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (Parlimen Bagan).

Walaupun begitu, peluang Wan Azizah hanya terbuka jika dipilih menjadi calon PRK Parlimen Permatang Pauh dan nasib pula menyebelahinya andai pengundi terus memilih beliau pada PRK itu.

Wan Azizah berpengalaman sebagai Ketua Pembangkang pada tahun 2008 ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri tetapi peranannya tidak begitu menonjol serta tidak berkarismatik.

Sokongan pengundi PAS

Jika PKR tetap berkeras mencalonkan Wan Azizah, parti itu perlu mengambil kira sokongan pengundi PAS kerana PAS Permatang Pauh menolak Presiden PKR itu atau mana-mana ahli keluarganya diletakkan sebagai calon PRK itu.

Pemuda PAS Pulau Pinang pula membuat keputusan tidak turun membantu jentera kempen PKR bagi menghadapi PRK Parlimen Permatang Pauh selagi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang dan Majlis Eksekutif Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) tidak menarik balik kenyataan berkaitan Hadi serta hudud.

Bermakna, jika PKR mahu memastikan kerusi Parlimen Permatang Pauh kekal di tangan mereka, nama Wan Azizah dan ahli keluarganya perlu digugurkan daripada senarai calon. Mungkinkah ini akan menutup peluang 'keluarga Anwar' untuk menjadi pemimpin pembangkang?

Lagipun, PAS sebelum ini pernah menolak pencalonan Wan Azizah untuk menjadi Menteri Besar Selangor atas alasan kewibawaannya. Maka, PKR tentu tidak mahu Presiden mereka dimalukan sekali lagi oleh PAS dalam isu mengisi jawatan ketua pembangkang pula.

Nama Azmin memang disebut-sebut paling layak menggantikan Anwar. Bahkan penyokong PKR aktif 'menjual' nama beliau menerusi tulisan dalam portal berita dan blog sebagai individu paling sesuai untuk menjadi ketua pembangkang.

Sokongan terhadap Azmin bersandarkan tiga faktor iaitu hubungan rapat Menteri Besar Selangor itu dengan Anwar, pengalaman dalam politik tanah air sejak dalam UMNO bersama Anwar sehingga menjadi orang penting dalam PKR dan ketiga, reputasi beliau yang agak baik dengan pimpinan DAP serta PAS.

Namun, pada peringkat dalaman PKR, Azmin dikatakan kurang mendapat tempat dalam hati ahli akar umbi PKR. Ia dapat dilihat berdasarkan trend sokongan diperoleh beliau ketika pemilihan agung parti itu tahun lalu.

Azmin nyaris gagal mempertahankan Timbalan Presiden PKR. Kemenangan beliau dianggap sebagai bernasib baik oleh ahli PKR selepas pencabar kuatnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat daripada parti.

Orang tengah

Kelebihan Azmin untuk dilantik menjadi ketua pembangkang setakat ini kerana beliau Menteri Besar Selangor yang serba sedikit mendapat pengalaman mentadbir negeri dan pelantikan itu mendapat restu PAS.

Apa yang menimbulkan spekulasi adakah beliau mampu menjadi orang tengah antara DAP dan PAS yang sedang dilanda krisis hebat ketika ini.

Dalam hal ini, pemerhati politik, Prof Madya Dr Muhammad Fuad Othman menyifatkan pembangkang tiada pilihan selain terpaksa memilih Azmin sebagai ketua pembangkang jika mahu menyelamatkannya daripada berpecah.

Beliau yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) berpendapat, Ahli Parlimen Gombak itu memiliki pengaruh politik lebih bertenaga berbanding pemimpin pembangkang lain.

"Beliau antara pemimpin senior dalam pembangkang, berpengaruh, mendapat restu PAS dan disenangi DAP. Jika pembangkang mahu terus bersama, mereka perlu pilih Mohamed Azmin," katanya.

Beliau turut berpandangan, ketua pembangkang tidak boleh dilantik dari DAP atau PAS kerana kedua-duanya saling menolak calon dikemukakan nanti berdasarkan krisis ketika ini.

"Kalau pilih daripada DAP, PAS tidak akan bersetuju kerana DAP menjadi pembantah utama dalam pelaksanaan hudud di Kelantan.

"Jika pilih pemimpin PAS menjadi ketua pembangkang, DAP akan menolak mentah-mentah kerana parti itu sudah memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi," katanya.

Walau apa pun keputusannya, melihat kepada konflik yang melanda pembangkang hari ini serta barisan calon daripada DAP, PKR dan PAS, tidak mustahil polemik ini berlarutan walaupun PRK Parlimen Permatang Pauh berakhir.

Ia ditambah dengan keputusan mengejutkan DAP yang mengumumkan akan berpakat dengan PKR sahaja dalam memilih calon ketua pembangkang, termasuk menentukan hala tuju pakatan pembangkang.

Ia menjadi isyarat jelas kepada PAS bahawa parti dan pemimpin parti itu tidak diperlukan dalam urusan memilih calon ketua pembangkang.

Dalam bahasa mudahnya, DAP mungkin tidak mahu pemimpin PAS dicalonkan untuk menjadi ketua pembangkang.

Sunday, 12 April 2015

Kunjungan Hormat Pemuda Umno Bahagian Bagan Datoh Ke KDN










Alhamdulillah segalanya tercapai setelah bertemu dan bersuamuka dengan Dato sri zahid.Semoga Pemuda Bagan Datuk di rahmati allah dan diberi kekuatan untuk segalanya.insyaallah pemuda bagan datoh akan lakukan terbaik untuk umno bahagian bagan dato dan Umno Malaysia.Doakan Segala kejayaan kami semua amin

Saturday, 11 April 2015

Hasut Rakyat Jatuh Kerajaan Salah di bawah Pindaan Akta Hasutan - Najib



 Perbuatan menghasut rakyat untuk menjatuhkan kerajaan dengan cara tunjuk perasaan masih merupakan satu kesalahan di bawah pindaan Akta Hasutan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata walaupun kerajaan sedang meminda akta tersebut untuk memansuhkan peruntukan larangan mengkritik kerajaan, namun, ia tidak bermakna pihak tertentu boleh melakukan tindakan menghasut dan menimbulkan rasa kebencian di kalangan rakyat.
"Kritik kerajaan bukan bererti mereka boleh menghasut rakyat menjatuhkan kerajaan melalui tunjuk perasaan umpamanya. Itu salah. Tapi kalau dia kata tukar kerajaan waktu pilihan raya, itu tidak salah.
"Jadi inilah yang nak diamalkan dalam negara kita dalam sistem demokrasi yang sihat dan bertanggungjawab. Sebab saya sebagai Perdana Menteri, tanggungjawab saya adalah menjaga keamaman dan keselamatan negara kita," katanya dalam wawancara menerusi program Soal Jawab TV3 Edisi Khas Bersama Perdana Menteri yang disiarkan malam ini. Wawancara itu dikendalikan Hamdan Ahmir.
Selasa lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membentangkan Rang Undang-Undang Hasutan (Pindaan) 2015 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
Pindaan itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadi lebih terbuka dan dengan itu membolehkan orang awam bebas untuk memberikan maklum balas atau kritikan terhadap kerajaan agar dapat mewujudkan suatu pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab.
Perdana Menteri berkata, walaupun larangan mengkritik kerajaan sudah dimansuhkan menerusi pindaan itu, namun tidak bererti bahawa peruntukan-peruntukkan yang terkandung di dalamnya yang mentakrifkan kesalahan menghasut dikeluarkan sama.
Beliau berkata, dalam negara yang berbilang kaum dan agama, perlu ada undang-undang yang menyekat dan membanteras kenyataan, berita dan tulisan yang boleh disifatkan menghasut dan menimbulkan kebencian di kalangan rakyat.
"Kalau dulu misalnya kita boleh dakwa mana-mana pihak yang mengkritik kerajaan sebab ada peruntukan dalam Akta Hasutan yang sedia ada. Kita dalam pindaan Akta HAsutan ini kita mansuhkan (peruntukan itu). Mereka (pembangkang) boleh kritik kerajaan," katanya.
Beliau turut menafikan akta tersebut diguna untuk memerangkap pemimpin dan anggota parti pembangkang yang mengkritik kerajaan.
Sebaliknya, Najib menjelaskan akta berkenaan bertujuan mengelak tindakan mana-mana pihak mengeksploitasi isu-isu sensitif berkaitan agama dan kaum yang menghasut dan menimbulkan kebencian di kalangan rakyat.
"Kesudahannya (akan) berlaku rusuhan kaum, (rusuhan) antara agama dan sebagainya. Siapa yang akan menderita? Rakyat yang akan menderita. Negara rosak. Jadi inilah yang kita mahu elakkan," katanya.
-- BERNAMA