PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Monday, 22 December 2014

'Putrajaya' Bukan Segala-Galanya, Kata PAS



PAS menegaskan bahawa misi untuk merampas kuasa dari Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir di Putrajaya bukanlah hasrat utama parti Islam itu tetapi untuk memartabatkan agama Islam.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, Kerajaan negeri yakin Kelantan mampu merealisasikan pelaksanaan hudud tahun hadapan mengikut kesesuaian secara realiti di sini.

“Kita tidak boleh berhenti dengan kuasa sahaja, kalau kita dapat kuasa, tapi tidak buat agama, itu sudah salah dalam perjuangan kita, kita menang di Kelantan dan melaksanakan ajaran Islam setakat mana yang kita boleh.

“Di sini kita boleh bersikap realistik dan praktikalnya kerana 97 peratus adalah orang Melayu dan Islam, sebab itu kita buat undang-undang ini (hudud) di Kelantan, bukan pada negeri-negeri lain,” katanya  yang dipetik Sinar Harian.

Menurutnya, Pas Kelantan juga tidak pernah memaksa negeri di bawah pentadbiran rakan komponen PR seperti Selangor dan Pulau Pinang untuk melaksanakan hudud kerana mengakui situasi dan realitinya sangat berbeza.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas 1 Kelantan memberitahu, jika ia berjaya dilaksanakan di Kelantan nanti, pihaknya juga mengalu-alukan jika ia mahu diguna pakai untuk seluruh Malaysia.

Mohd Amar yang juga AJK Pas Pusat turut menegaskan, mana-mana pihak yang enggan menerima hudud tidak boleh memaksa orang Islam untuk menolak undang-undang Islam itu.

“Kita ini sebuah negara demokrasi, sebab itu kita tidak boleh paksa kehendak kita kepada orang lain, mana-mana yang tidak setuju itu adalah hak dia. Pas terbuka, dia tak nak sokong, itu hak dia, tapi jangan paksa orang lain terutama orang Islam untuk tidak sokong undang-
undang Islam.

“Selama ini mereka kata benda ini bercanggah dengan perlembagaan, sekarang kita nak ikut saluran perlembagaan lah,” katanya.

Sunday, 21 December 2014

Zulkifli Noordin Kecam Guan Eng Haramkan Perarakan Maulidul Rasul



BERIKUT MERUPAKAN KENYATAAN DATUK ZULKIFLI NOORDIN BERHUBUNG PENGHARAMAN KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG MENGADAKAN PERARAKAN SAMBUTAN MAULIDUL RASUL

Saya merujuk kepada kenyataan Exco Agama Islam Pulau Pinang yang menyatakan bahawa Kerajaan DAP Pulau Pinang melarang sebarang perarakan sambutan Maulidul Rasul, sebaliknya mengubahnya dengan program dalam dewan.

Saya mengutuk keras pelarangan tersebut kerana:

1. kuasa berkaitan perhimpunan di tempat awam adalah kuasa mutlak pihak polis persekutuan;

2. kerajaan negeri tidak ada apa-apa kuasa berkaitan dengannya;

3. Ini adalah tindakan provokasi berterusan Kerajaan DAP pimpinan Lim Guan Eng setelah menimbulkan provokasi menggalakkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah di Pulau Pinang;

4. Ini jelas satu penghinaan kepada kuasa YDP Agong kerana hal berkaitan Islam di Pulau Pinang adalah dibawah kuasa dan bidangkuasa YDP Agong yang memerintah melalui wakilnya YDP Negeri;

5. Ini juga adalah tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan krn Islam adalah agama bagi Persekutuan dan melarang sambutan hari kebesaran Islam adalah satu pencabulan Perlembagaan.

Saya menyeru kepada umat Islam Pulau Pinang supaya tidak mematuhi arahan haram kerajaan negeri Pulau Pinang dan meneruskan perarakan sambutan Maulidurrosul sebagaimana yang dirancang dan dilaksanakan saban tahun.

Hanya pihak polis sahaja yang berhak melarang dan menyuraikan sebarang perhimpunan di tempat awam.

Saya juga mendesak pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap Kerajaan negeri Pulau Pinang dan mana-mana individu yang dengan sengaja secara berterusan cuba mencetuskan provokasi dan memainkan sentimen anti agama Islam yang boleh menyebabkan keamanan dan keselamatan negara ini terancam!

Enough is enough!

UMNO, PKR Dan PAS 'Mengemis' Undi Cina



Perpecahan masyarakat Melayu dalam dunia politik memaksa tiga parti berasaskan kaum Melayu negara 'mengemis' untuk mendapatkan sokongan masyarakat lain.

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, UMNO, PKR dan PAS terpaksa bertindak sedemikian untuk terus berada dalam dunia politik.

“Sama ada Umno, PKR, PAS... mereka mengemis pada orang Cina, DAP untuk dapatkan sokongan. Dan memandangkan kita jadi pengemis, kita tidak lagi berkuasa,” katanya.

Ujarnya, kaum Melayu yang merupakan majoriti masyarakat Malaysia boleh memenangi pilihan raya sekiranya bersatu.

“Sepatutnya, memandangkan orang Melayu membentuk 60 peratus daripada jumlah penduduk, kita sepatutnya memenangi pilihan raya.

“Namun disebabkan kita terpisah kepada tiga kumpulan, kita terpaksa menjadi pengemis, meminta pertolongan daripada kaum lain – terutama golongan Cina – untuk mendapatkan sokongan mereka," ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dalam satu seminar di Akademi Kenegaraan hari ini.

Saturday, 20 December 2014

UMNO Sambut Baik Kerjasama Dengan PAS



Umno menyambut baik jika Pas duduk bersama membincangkan pelaksanaan hukum hudud.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, ia kerana soal hukum hudud adalah milik semua orang Islam dan bukannya milik mana-mana parti.

“Saya menyambut baik sekiranya perbincangan untuk memperkukuhkan agama Islam dan Institusi Melayu itu, dibuat oleh sama ada Umno atau Pas kerana ia perlu dibuktikan bahawa persempadanan politik tidak boleh membataskan isu agama kerana agama Islam adalah anutan kita.

“Paling penting Pas harus tunjukkan keikhlasan dalam apa jua yang ingin dibincangkan, mereka harus telus dan menunjukkan kepada Umno apa topik-topik yang harus diberi penekanan bersama dalam soal agama Islam ini,” katanya, semalam.

Jelasnya, jika Pas mahu adakan perbincangan mendalam berkenaan hudud, ia perlu dilakukan secara terperinci.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, beliau menerima jika perbincangan diadakan antara kedua-dua parti itu mengenai pelaksanaan hudud.

“Saya tiada halangan untuk melaksanakan hudud tetapi apa pun apabila bercakap tentang Islam, kita hendaklah bersatu, tanpa mengira latar belakang dan fahaman (politik), yang penting kita bersatu atas nama Islam.

Pemimpin Wanita DAP Ajak Ulama PAS Berdebat



Setiausaha DAPSY Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid hari ini mengajak pemimpin dari Majlis Syura Ulama PAS berdebat dengannya ekoran ketegasan parti Islam itu untuk melaksanakan Hudud.

Menurut Syerlena, debat bersama PAS akan menggariskan sebab mengapa membanteras rasuah lebih penting dari ingin melaksanakan hudud.

"Sebagai seorang rakyat Malaysia beragama Islam, saya sesungguhnya percaya keutamaan kita seharusnya diletakkan kepada usaha membanteras rasuah dalam negara, lagipun rasuah merupakan akar segala kejahatan yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

 "Oleh yang demikian, saya ingin melontarkan cabaran ini kembali kepada Zaharudin, biar sahaja kita berdua berdebat tentang hal ini.

"Kita sewajarnya berbincang tentang hal ini berasaskan fakta dan bukan emosi mentah mahupun sebarang bentuk ancaman, supaya seluruh Malaysia dapat memahami betapa seriusnya isu ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Pengarah Pendidikan Politik Wanita DAP Bukit Bendera itu menyifatkan cabaran dialog mengenai hudud yang dibuat Zaharudin terhadap Lim itu "sesuatu yang agak pelik."

"Nampaknya Zaharudin, yang juga menantu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, benar-benar serius mahu mengetahui pendirian DAP mengenai hudud," katanya.

Syerleena berkata, pendirian DAP mengenai hudud dan pelaksanaannya, seperti yang disebut penasihat parti Lim Kit Siang, sama dengan pendirian tiga Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn.

"Undang-undang hudud bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan asas sebuah negara sekular, dengan Islam dijadikan agama rasmi Persekutuan dan kebebasan beragama yang dijamin buat agama-agama lain."

Katanya, Zaharudin harus faham yang garis pemisah di antara negara sekular dan negara Islam di Malaysia ini seringkali diabaikan, akibatnya, kebanyakan rakyat terlupa yang Perlembagaan Persekutuan itu bersifat sekular.

"Sekular tidak bermakna DAP menentang Islam, atau apa jua agama lain. Maksud sekular ialah supaya kita dapat bertoleransi, bermesra dan menghormati semua agama. Kami percaya semua orang dilihat sama di mata undang-undang," katanya.

Syerleena mendakwa, PAS sekali lagi menunjukkan sisinya yang sebenar melalui berahinya melaksanakan hudud, walaupun jika ia hanya akan dilaksanakan di Kelantan.

"Tidak kisahlah kalau Malaysia ini negara yang berbilang kaum dan berbilang budaya di mana undang-undang sedia ada dirangka para leluhur melindungi setiap seorang warganegara dengan pengadilan moral yang sebaiknya secara adil.

"Tidak kisahlah jika ini akan dengan sendirinya menjahanamkan apa yang diusahakan Pakatan Rakyat – tepikan perbezaan dan bersatu sebagai sebuah perikatan politik demi perubahan yang sangat diperlukan di negara ini.

"Tidak kisah jugalah jika hal ini akan merosakkan semangat pengundi, terutamanya saudara senegara yang bukan beragama Islam yang setulus hati mempercayai slogan ‘PAS-4-All’."

Katanya, DAP ialah parti yang percaya dengan usaha mempertahankan hak semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan gender, usaha mendaulatkan kesaksamaan dan solidariti dan kepentingan mengekalkan keharmonian hubungan antara kaum dengan sesama warga Malaysia dari setiap lapisan.

"Mungkin Zaharudin patut bertanya dirinya, adakah beliau menentang demokrasi, kebebasan, keadilan sosial, hak asasi manusia, kesaksamaan gender dan peluang saksama?" soalnya.

Friday, 19 December 2014

Tun M Boleh Hadir, Tapi Perlu 'Diam'



Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hanya boleh hadir sebagai tetamu, namun tidak boleh memberikan pendapat sekiranya diadakan sidang Parlimen tergempar untuk memperincikan semula Bajet 2015 lalu.
Sumber dalaman Parlimen berkata, sidang Parlimen tidak mempunyai ruang perbahasan untuk orang luar selain ahli dewan.
“Beliau hadir sebagai bukan ahli dewan dan tidak mempunyai kuasa-kuasa sebagai ahli dewan seperti 222 ahli itu.
“Apa yang saya tahu, buat masa ini kalau hadir sebagai tetamu Parlimen boleh, tetapi berfungsi sebagai ahli dewan tidak boleh,” katanya semalam.
Menurutnya, terdapat ruang untuk memberikan pendapat tetapi ia sesi yang berlainan diuruskan oleh pihak Parlimen.
“Jawatankuasa pilihan khas contohnya boleh digunakan untuk beri peluang sesiapa beri pendapat. Pihak parlimen ada satu jawatankuasa boleh menjemput orang bagi pandangan. Memang ada tapi itu dinamakan sesi pendengaran awam,” katanya.

BN Susun Langkah Raih Semula Sokongan



Tahun 2014 menyaksikan prestasi Barisan Nasional kembali meningkat, meskipun bergerak dengan agak perlahan, malah parti pemerintah itu dilihat mulai meraih kepercayaan dan sokongan rakyat berdasarkan beberapa kejayaan yang dikecapi.

Memperoleh kemenangan dalam tiga daripada empat pilihan raya kecil (PRK) yang ditandingi parti pada tahun ini, ia memberi harapan bahawa BN masih berpeluang untuk terus mengemudi negara.

Tahun 2014 mencatatkan lima PRK diadakan iaitu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian di Sarawak, DUN Kajang (Selangor), Parlimen Teluk Intan (Perak) dan DUN Pengkalan Kubor (Kelantan), serta kerusi Parlimen Bukit Gelugor (Pulau Pinang) yang tidak ditandingi BN.

Bagi parti pembangkang, meskipun berjaya mengekalkan dua kerusi miliknya iaitu di Kajang dan Bukit Gelugor, namun kerana pergolakan dan krisis politik dalaman, ia sedikit sebanyak memberi impak dan tekanan kepada parti dalam menyaingi parti pemerintah.

KEMENANGAN BERMAKNA

Tiga PRK menyaksikan kepercayaan pengundi kepada BN apabila parti itu berjaya mempertahankan dua kerusi, dan merampas kembali sebuah kerusi daripada tangan pembangkang.

Bagi kerusi Balingian, BN melalui Yussibnosh Balo berjaya mempertahankan kerusi dengan menewaskan Abdul Jalil Bujang daripada PKR dengan majoriti 6,911 undi. Yussibnosh memperoleh 8,194 undi, berbanding Abdul Jalil dengan 1,283 undi.

BN juga berjaya mengekalkan taringnya dengan kemenangan di Pengkalan Kubor apabila calonnya Mat Razi Mat Ail menang dengan majoriti 2,635 undi, mengalahkan calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim yang memperoleh 7,326 undi dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary yang menerima 38 undi sahaja.

Pastinya, satu kemenangan bermakna dan anjakan besar kepada BN, apabila Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong berjaya merampas kembali kerusi yang terlepas ke tangan DAP sejak 2008.

Beliau menewaskan calon muda DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dalam pertembungan cukup sengit dengan majoriti kecil sebanyak 238 undi, apabila mendapat 20,157 undi manakala Dyana Sofya memperoleh 19,919 undi.

DETIK KEBANGKITAN

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kejayaan BN menawan kembali kerusi Parlimen Teluk Intan merupakan satu petanda penting bahawa keyakinan dan sokongan rakyat terhadap parti itu telah mulai mengukuh.

Meskipun kemenangan diperoleh dengan majoriti kecil, beliau percaya ia adalah detik kebangkitan parti, khususnya Gerakan, untuk melakukan lebih banyak gerak kerja dan usaha berterusan.

Kemenangan parti Gerakan, sebagai parti 'underdog', membuktikan bahawa kebersatuan parti komponen BN adalah kunci untuk menang. Kemenangan itu seharusnya menjadi contoh dan pemacu kepada parti komponen lain.

Dalam PRK Kajang misalnya, meskipun kemenangan tidak memihak kepada calon BN yang bertanding iaitu Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun, BN berjaya menurunkan majoriti calon lawan.

Keputusan PRK itu berpihak kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang meraih 16,741 undi berbanding 11,362 undi yang diterima Chew, menjadikan majoriti 5,379 undi.

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), Lee Chin Cheh daripada PKR memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri itu dengan majoriti 6,824 undi, meskipun terpaksa berentap dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.

SOKONGAN MULAI KEMBALI

Pilihan raya kecil itu, yang direncanakan oleh PKR setelah Lee meletak jawatan secara mengejut, turut menyaksikan sokongan pengundi Cina terhadap BN meningkat tujuh peratus kepada 25 peratus berbanding keputusan pada PRU13.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kembalinya sokongan pengundi Cina kepada BN menunjukkan bahawa masyarakat itu telah memperbaharui harapan mereka terhadap BN, serta menyifatkan PRK itu sebagai satu permulaan buat MCA meneruskan misi mentransformasi parti.

Pilihan raya kecil itu, yang menjadi kayu pengukur kepada penerimaan rakyat kepada parti, ternyata menyuntik dan membakar semangat kepada MCA untuk melakukan transformasi agar kekal relevan dalam pentas politik tanah air.

Selain MCA yang bertungkus lumus untuk menawan kembali kepercayaan kaum Cina, tugas berat juga dipikul MIC yang dipimpin Presidennya Datuk Seri G. Palanivel, untuk mengembalikan era kegemilangan MIC dan memastikan parti itu terus relevan untuk kaum India.

TUGAS BERAT

Sejak Palanivel mengambil alih kepimpinan parti daripada Datuk Seri S. Samy Vellu, belum ada lagi perubahan atau penambahbaikan drastik dilakukan terhadap parti, malah kepincangan dalaman parti semakin hari semakin menyerlah, hinggakan semakin ramai yang lantang bersuara.

Palanivel dilihat sering mengambil langkah mendiamkan diri setiap kali isu-isu berkaitan masyarakat India atau parti itu dibangkitkan, antaranya yang terbaharu apabila pemimpin dan anggota parti itu hilang sabar tatkala menunggu langkah yang bakal diambil Palanivel susulan keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengarahkan pemilihan semula diadakan bagi jawatan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan tiga naib presiden.

Susulan kritikan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah terhadap Palanivel berkaitan isu gelongsoron lumpur di Lembah Bertam, Cameron Highlands, Pengarah Strategi MIC Datuk Seri S. Vell Paari turut membidas ketuanya dengan berkata parti itu perlu segera diberi nafas baharu dan melakukan perubahan supaya ia relevan dengan landskap politik tempatan.

Beliau berkata pada peringkat sekarang, parti berusia 68 tahun itu memerlukan seorang pemimpin dinamik yang mampu mengatasi cabaran dihadapi MIC.

Seperti MCA, MIC perlu bangkit dan melakukan perubahan untuk menjadi parti yang digeruni sebagaimana ketika era kegemilangannya, di samping memastikan undi kaum India kembali kepada parti itu.

Parti Progresif Penduduk (PPP) pula mengambil langkah mentransformasi pendekatan dengan lebih menumpukan kepada pembangunan masyarakat India dalam usaha menarik sokongan mereka terhadap BN.

Presidennya Tan Sri M. Kayveas berkata transformasi di dalam PPP itu penting sebagai usaha meraih kembali kepercayaan serta sokongan masyarakat India terhadap BN yang hilang setelah negara dilanda tsunami politik pada 2008 dan 2013.

BN, KERAJAAN TERBAIK

Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Razak berkata prestasi buruk BN dalam PRU12 dan PRU13 memerlukan semua parti komponennya menyegarkan dan mencergaskan semula gabungan itu dalam menghadapi cabaran pada masa depan serta pilihan raya umum akan datang.

Perdana Menteri memberi amaran anggota BN perlu menjangkakan cabaran lebih berat yang bakal dihadapi.

"Prasyarat pertama bagi kelangsungan politik kita adalah untuk merapatkan barisan, memperkukuhkan parti, mengelak perpecahan dalam politik dan terus melangkah untuk semua rakyat Malaysia," kata Najib ketika merasmikan Kongres Parti Liberal Demokratik pada 16 Nov lepas.

BN, meskipun sering kali dimanipulasi dan difitnah terutamanya melalui media sosial serta ditekan dengan pelbagai isu, terus berusaha menambah baik ruang lingkupnya demi membuktikan parti itu merupakan parti terbaik untuk menjadi kerajaan yang memimpin Malaysia.

Pada Perhimpunan Agung Umno 2014 bulan lepas, Najib, yang juga Presiden Umno, acap kali menekankan kepentingan soladariti selain menegaskan bahawa BN khususnya Umno sedia untuk berubah.

Tegasnya Umno selaku komponen utama dalam BN akan terus memastikan kelangsungan solidariti kerana ia merupakan aset penting yang dapat menjamin keamanan serta keharmonian Malaysia.

"Ini satu tindakan yang dilakukan tanpa jemu oleh kerajaan kerana ia aset paling mustahak demi survival Umno, BN dan negara tercinta," katanya.

Najib turut menggunakan pentas perhimpunan agung tahunan parti terbesar orang Melayu itu untuk mengumumkan keputusan mengekalkan Akta Hasutan 1948, malah menambah baik akta berkenaan demi solidariti, keharmonian rakyat dan kestabilan Malaysia.