PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Tuesday, 23 June 2015

Isu 1MDB : Polis Thailand Tahan Bekas Pegawai PetroSaudi



Polis Thailand menahan seorang bekas pegawai PetroSaudi International Ltd dan mendakwanya atas tuduhan cuba memeras ugut syarikat berkenaan, lapor media Thailand.

Ketua Polis Thailand, Jeneral Somyot Pumpunmuang, berkata polis Bahagian Pencegahan Jenayah menahan warga Switzerland,  Xavier Andre Justo, susulan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Selatan Thailand.

Polis turut menggeledah kediamannya dan merampas sebuah komputer serta beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam jenayah itu.

Menurut polis, Justo adalah seorang eksekutif di PetroSaudi sebelum melarikan diri ke Thailand. Syarikat antarabangsa berpangkalan di Arab Saudi itu, terkenal di Malaysia berikutan kerjasama yang pernah dijalin dengan syarikat dana pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dua tahun selepas dipecat daripada syarikat, Justo dikatakan cuba memeras ugut PetroSaudi sehingga 2.5 juta Swiss Francs (RM10 juta). Dia mengancam akan mendedahkan maklumat sulit perniagaan yang didakwa dicurinya daripada syarikat itu jika permintaannya tidak dipenuhi.

Berikutan cubaan peras ugut itu, beberapa emel dan dokumen disiarkan oleh Sarawak Report, sebuah blog bermotifkan politik, hingga mencetuskan pelbagai tuduhan terhadap 1MDB.

Difahamkan, sebahagian daripada emel dan dokumen yang disiarkan dalam blog itu sudah ditokok-tambah, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kesahihan tuduhan berkenaan.

Sementara itu, PetroSaudi dalam kenyataan yang dikeluarkan di Riyadh, menyambut baik penahanan Justo dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa Thailand. Selain itu, PetroSaudi mempertimbangkan tindakan undang-undang sewajarnya.

"Kami lega Justo akan berdepan tindakan mahkamah. Kami menjadi mangsa jenayah dan lebih mendukacitakan, ia dipolitikkan di Malaysia.

"Kami gembira kerana dapat memperbetulkan keadaan dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas segala kesulitan berikutan tindakan tidak bertanggungjawab bekas kakitangan kami," katanya.

Monday, 22 June 2015

Alasan MBPP Tak Masuk Akal - UMNO P.Pinang



Badan Perhubungan UMNO negeri menyelar sikap tidak profesional Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana memberi pelbagai alasan remeh bagi menolak permohonan parti itu mendirikan struktur logo UMNO di pejabat mereka di Jalan Macalister.

Setiausahanya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, MBPP memaklumkan pada saat-saat akhir bahawa permohonan berkenaan perlu dibuat secara dalam talian dan bukannya menghantar borang secara terus ke pejabat mereka di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Katanya, perkara berkenaan hanya dimaklumkan kira-kira pukul 11.30 pagi ini kepada kakitangan JKP Sdn. Bhd. iaitu pemilik bangunan berkenaan sedangkan mereka hadir ke Bahagian Pelesenan MBPP sejak pukul 8 pagi.

"Ini menunjukkan contoh kerenah birokrasi yang wujud dalam MBPP dan saya menggesa Datuk Bandar, Datuk Patahiyah Ismail supaya memandang serius perkara ini dan berlaku adil.

"Bayangkan, sebuah parti politik seperti UMNO dilayan seperti ini, bagaimana pula dengan nasib rakyat yang mahu berurusan dengan mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam bersama kira-kira 50 ahli parti itu tiba di tingkat tiga, Komtar untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada MBPP berhubung tindakan penguat kuasa cuba merobohkan struktur logo UMNO pada Jumaat lalu yang mencetuskan kekecohan.

Bagaimanapun, pasukan keselamatan Komtar bertindak menutup laluan utama masuk ke pejabat kerajaan negeri manakala memorandum berkenaan diterima wakil MBPP selain kira-kira 50 anggota polis juga dilihat berkawal di situ.

Sementara itu, beberapa lelaki dilihat membakar bendera DAP di pekarangan Komtar selepas penyerahan memorandum berkenaan.

Sunday, 21 June 2015

Hadi Arahkan PAS Selangor Terus Sokong Azmin



 Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengarahkan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad untuk meminta seluruh ADUN PAS Negeri Selangor terus bersama Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

“Ia bagi mengekalkan kedudukan kerajaan yang memerintah Selangor pada waktu ini,” katanya dalam satu kenyataan, Rabu.

"Isu itu kecil. Tak payahlah saya ulas," kata Hadi Awang enggan melayan soalan BNBBC.MY

Tambahnya, pendirian PAS terhadap kerjasama dalam PR adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam Ucapan Dasarnya di Muktamar PAS baru-baru ini.

Kenyataan turut menyebut, kerjasama PAS dengan komponen PR di Selangor adalah dalam kerangka untuk mempertahankan kerajaan yang dibina bersama melalui kepercayaan rakyat.

Kenyataannya itu agak bercanggah semasa sidang media Muktamar PAS sebelum ini yang menyatakan, PAS tidak mengutamakan soal kedudukan dalam kerajaan tetapi memberi keutamaan tuntutan agama dalam isu hudud.

Sebelum ini kata Hadi, PAS pernah kosong ( tidak memegang jawatan dalam kerajaan negeri ) dan PAS juga pernah bersendiri ( tiada dalam pakatan ), sehubungan itu PAS tidak kisah akan soal kedudukan.

Sejak krisis DAP dan PAS semakin menegang, hanya PAS dilihat masih bertoleransi.

Kenyataan Hadi hari ini juga masih mahu bertoleransi walau DAP sudah menyatakan Pakatan Rakyat sudah berkubur.

Saturday, 20 June 2015

Hishammuddin : Kerjasama 4 Negara Perlu Diperluas Kekang Ancaman Lanun



 Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan bahawa kerjasama antara Thailand, Singapura, Indonesia dan Malaysia di Selat Melaka perlu diperluas bagi mengekang ancaman lanun di kawasan perairan negara terlibat.

Beliau berkata sebuah negara sahaja tidak akan dapat menjaga keselamatan maritim dengan berkesan, sebaliknya ia memerlukan kerjasama erat antara negara yang terlibat.

"Saya sempat berbincang dengan Menteri Pertahanan Indonesia Ryamizard Ryacudu dan beliau pada dasarnya bersetuju (dengan cadangan perluas kerjasama tersebut), kita akan bincang dengan negara lain selepas ini.

"Kita juga pertimbang negara ASEAN lain jadi pemerhati dalam kerjasama ini, setakat hari ini Vietnam dan Myanmar setuju (jadi pemerhati). Mungkin kita adakan mini sidang kemuncak untuk bincangkan cara atasi jenayah ini," katanya pada sidang akhbar di sini Isnin.

Terdahulu beliau merasmikan Dialog Belia Antarabangsa Melaka Ke-15 bertemakan Belia dan Konflik Bersenjata : Ekspresi Tanpa Takut, Maju Tanpa Ancaman di sini yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Kira-kira 200 belia dari 80 negara antaranya Amerika Syarikat, Sudan, Bosnia, Jerman dan Malaysia menyertai persidangan selama tiga hari itu bermula hari ini.

Sementara itu, Hishammuddin menafikan dakwaan media Indonesia bahawa terdapat bot dan pesawat Malaysia memasuki perairan negara itu secara tidak sah di Ambalat yang terletak di pantai timur kepulauan Borneo.

"Saya juga sempat bincang dengan Ryamizard berkenaan ini dan beliau setuju supaya isu sebegini tidak disensasikan baik media dari Malaysia atau Indonesia dan juga di media sosial," katanya.

Beliau berkata hubungan baik yang terjalin antara Malaysia dan Indonesia sejak sekian lama membuka jalan untuk mengatasi segala isu yang terjadi dengan cara perbincangan.

Katanya semua pihak seharusnya tidak terpengaruh dengan rentak emosi dalam menangani isu seperti itu.

"Ini cara kita di ASEAN (perbincangan dan tidak menurut rentak emosi) daripada dulu lagi yang cukup berjaya membendung ketegangan antara negara, selain itu saluran diplomasi antara kementerian luar negara terlibat perlu juga diteruskan," katanya.

Friday, 19 June 2015

Nazri Aziz Sedia Beri Kerjasama Kepada Pihak Polis



KUALA LUMPUR: Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis berhubung kenyataan beliau yang dikatakan menasihati Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ismail, supaya tidak mencampuri urusan politik Negara.
“Saya seorang yang berpegang pada undang-undang dan akan berdepan dengan undang-undang.
“Setakat ini, saya tidak dipanggil…belum dipanggil lagi,”kata beliau kepada The Malaysian Insider, hari ini.
Nazri turut berkata, seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa kerabat diraja mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada politik dan tidak boleh sama sekali didakwa di bawah Akta Hasutan.
“Apabila Tunku Mahkota Johor serang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, tiada apa boleh dilakukan terhadapnya kerana beliau dilindungi Akta Hasutan.
“Tetapi apabila saya pertahankan Najib, saya kena panggil. Sekarang kita tahulah, padangnya tidak sama rata,”kata beliau.
Terbaharu, Ketua Polis Negara, Tan Seri Khalid Abu Bakar berkata, terdapat beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Nazri berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri tersebut dan pihak polis akan menyiasat perkara tersebut dibawah Akta Hasutan 1948.
Terdahulu, Nazri telah membidas kenyataan Tunku Mahkota Johor kerana bertindak mengkritik tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak yang membatalkan kehadirannya dalam forum ‘Nothing To Hide’ pada 5 Jun lalu.
“Bagaimana boleh diadakan suatu dialog bertajuk ‘Nothing2hide’ dengan mengetengahkan seorang yang ingin menyembunyikan segala-galanya. Tentu sekali dia tidak akan muncul.
“Kepada mereka yang diberikan amanah, jangan salahkan rakyat kerana hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda, tetapi fikirkanlah mengapa rakyat hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda,”tulis Tunku Ismail pada posting Facebook Johor Southern Tigers yang bertarikh 5 Jun lalu.
Bagaimanapun, pada 13 Jun lalu, Nazri memberitahu Tunku Ismail supaya ‘menjauhi politik’ jika tidak mahu ‘dibelasah’.
“Saya rasa beliau harus menjauhkan diri daripada politik. Jika tidak, beliau juga akan dapat benda yang sama. Kita akan ‘whack’ (belasah) beliau,” katanya.

Thursday, 18 June 2015

Kerajaan Guna Semua Sumber Cari Kapal Tangki Yang Hilang – Najib



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan menggunakan sumber-sumbernya untuk mengesan kapal tangki yang hilang bersama 22 kru di 30 batu nautika timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor pada Khamis.
Najib berkata beliau berasa sedih mendengar berita kehilangan kapal tangki itu dan berdoa semoga semua kru dalam kapal tersebut berada dalam keadaan selamat.
“Saya sedih mendengar berita kehilangan kapal tangki milik Malaysia itu. Saya berdoa semoga 22 kru yang 16 daripadanya ialah warga Malaysia berada dalam keadaan selamat.
“Doa saya adalah bersama keluarga masing-masing. Kerajaan akan menggunakan sumber-sumbernya untuk mengesan kapal tangki itu,” katanya menerusi catatan terbaharu beliau dalam laman Twitter dan Facebook pada Ahad.
MT Orkim Harmony membawa 6,000 tan metrik muatan minyak petrol RON95 sedang dalam pelayaran dari Melaka ke Kuantan apabila dilaporkan hilang Khamis lepas.
Selain 16 kru warga Malaysia, lima rakyat Indonesia dan seorang warga Myanmar berada dalam kapal tangki itu.
Operasi mencari untuk menjejaki kapal tangki itu telah dilancarkan denganTentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengerahkan tiga buah kapal bersama 150 anggota sementara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggunakansebuah helikopter, tiga buah kapal dan sebuah bot.
-mstar

Wednesday, 17 June 2015

Najib Perjelas Isu 1MDB Kepada Wakil UMNO



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dijadualkan bakal memberikan taklimat berkenaan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada wakil-wakil UMNO Bahagian dalam satu sesi tertutup, hari ini.
Memetik laporan daripada Mstar, penerangan tersebut akan diberikan kepada wakil-wakil UMNO Bahagian sebagai salah satu usaha bagi menangani serangan terhadapnya berkenaan isu 1MDB.
Sesi tertutup itu dijangka akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putwa, di sini.
Di dalam program yang sama, Najib turut dijangka akan memberi taklimat dan penerangan mengenai beberapa isu semasa yang lain kepada wakil-wakil UMNO yang hadir.
“Sesi seperti ini akan diadakan lebih kerap di mana beliau secara peribadi dapat menjelaskan kepada akar umbi dan orang ramai mengenai isu-isu kritikal,”kata sumber.
Dalam perkembangan yang lain, Perdana Menteri turut menzahirkan kekagumannya mengenai kebolehan rakyat Malaysia yang berjaya dibuktikan melalui kontrak pengurusan Metro Line bernilai RM900 juta kepada Prasarana Malaysia Bhd oleh kerajaan Arab Saudi.
“Walaupun kita tidak membinanya, kita masih diberi kepercayaan oleh kerajaan Arab Saudi untuk menguruskan talian keretapi tersebut.
“Keputusan mereka adalah suatu pengakuterimaan kemampuan rakyat Malaysia, khususnya umat Islam,”katanya ketika berucap di Kampung Bukit Udang, di Pekan, semalam.