PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Wednesday, 10 June 2015

A. Samad Said Sertai DAP



KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said mengumumkan penyertaannya sebagai ahli DAP sebagai salah satu usaha beliau untuk mendekati rakyat.
Memetik laporan daripada Malaysian Insider, beliau yang turut dikenali dengan panggilan Pak Samad turut digelar sebagai ‘Perwira Ubah’ oleh penasihat DAP, Lim Kit Siang.
“Mereka menganggap tindakan ini akan mencemarkan imej sasterawan Negara.
“Tetapi bagi saya, ianya tidak menjadi masalah kerana setiap tindakan pasti akan ada pro dan kontranya,” kata beliau.
A.Samad berkata, beliau sudah lama berhasrat untuk menyertai parti itu, namun tidak pernah diluahkan walaupun terdapat beberapa pihak yang berasa kurang senang dengan tindakannya itu.
Beliau turut menyatakan antara sebab beliau menyertai DAP adalah kerana parti itu lebih sekular kerana lebih mewakili rakyat Malaysia berbanding Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS.
Katanya lagi, DAP juga telah menunjukkan sikap mesra parti itu terhadap orang Melayu, tetapi sering diputarbelitkan oleh media.
“Saya fikir mula mesra tetapi biasanya gambaran media yang merosakkannya.
“Kalau kita lihat interaksi pimpinannya, individu yang mewakilinya, ia sangat merangsang bagi saya,”katanya.
A.Samad turut melahirkan kebimbangannya terhadap apa yang terjadi dalam Pakatan Rakyat (PR), namun, penelitian perlu dibuat oleh beliau sebelum memberikan sebarang pandangan.
Penyertaan sasterawan Negara itu dilihat sebagai salah satu usaha untuk membantu DAP bagi menarik lebih ramai penyokong Melayu memandangkan parti itu pernah dilabelkan sebagai anti-Islam dan Melayu oleh parti UMNO serta PAS.

Tuesday, 9 June 2015

Mekah Bakal Bina Hotel Terbesar Di Dunia



Mekah akan membangunkan sebuah hotel bertaraf hotel mewah terbesar di dunia dengan berkonsepkan 'kubu di tengah padang pasir'.
Hotel Abraj Kudai dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun 2017 bakal memiliki 10,000 buah bilik, 70 buah restoran dan empat buah pad helikopter.
Selain itu, hotel itu juga menempatkan sebuah stesen bas, sebuah pusat membeli belah, medan selera dan 'grand' ballroom mewah.
Hotel setinggi 45 tingkat itu juga mempunyai 12 menara yang terletak di atas podium 10 tingkat.
Kementerian Kewangan Arab Saudi yang membiayai pembinaan projek hotel mewah itu dengan kos keseluruhan projek tersebut mencecah AS$3.5 bilion.

Monday, 8 June 2015

Bila Najib 'Dilagakan' dengan Muhyiddin, Siapa Kita Pilih?



BLOG bERANIKAN hATI - Kebelakangan ini bagai tak dapat dibendung dan disembunyikan lagi perbalahan antara DS Najib dan TS Muhyiddin. Benarkah UMNO sudah jadi parti retak seribu? Jangan ditanya siapa yang punya rencana atau siapa pencipta skripnya kerana yang lebih utama adalah kemusnahan UMNO adalah kemusnahan seluruh negara dan umat Melayunya.

Ada yang bertanya kenapa ini terjadi kini? Kuat sangatkah UMNO sehingga mampu bertelagah sesama sendiri sedangkan PRU sudah semakin hampir.

Jawapan mudahnya adalah kerana masing-masing merasakan bahawa musuh utama sudah dihapuskan dan terpenjara di Sungai Buluh. Justeru inilah masanya merebut dan berbahagi harta 'rampasan perang'.

Apakah pemimpin-pemimpin UMNO masih belum sedar bahawa rakyat sudah semakin bosan dengan kerenah mereka? Nama UMNO pun bukan benar-benar harum sejak PRU12 lalu. Rakyat khususnya generasi muda masih belum benar-benar merasai kehebatan UMNO dan tidak merasa bahawa UMNO benar-benar diperlukan. Segala tentang UMNO mereka anggap hanya retorik dan gula-gula semata-mata. Rakyat dipedalaman yang masih benar-benar hidup susah juga sudah semakin hilang percaya.

Mungkin mereka tidak benar-benar mengetahui apa yang terjadi, namun 'angin tetap membawa khabar' internet dan media sosial mampu mempengaruhi mereka disamping khabar dari kota yang dibawa oleh anak cucu.

Kelemahan pemimpin adalah kerana terlalu berlembut selama ini. Pemimpin yang terlalu bertimbang-rasa dan berhati-hati dianggap lemah dan tidak tegas. Pemimpin bukan sahaja patut di hormati bahkan juga mesti ditakuti. Jika tidak masakan ada yang berjaya memimpin sehingga lebih 20 tahun.

Sebenarnya saya sendiri masih belum ada pendirian yang pasti siapa yang akan saya pilih, namun jika benar-benar terjadi antara berdua mereka akan bertarung, tidak mustahil saya akan memilih pilihan ke-3.

Pastinya bukan hanya saya sahaja yang akan mengambil pendirian demikian, ramai lagi yang merasa benci dan bosan dengan pergaduhan sesama Melayu akan membuat pilihan yang pemimpin Melayu sendiri tidak akan menjangka.

Kerana nila setitik, biarlah rosak susu sebelanga. Alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai tenggelam. Dari genting, biarkanlah terus putus. Mengenggam bara api, biar sampai terbakar tangan.

Jika saya dipaksa memilih diantara dua, saya lebih rela tidak membuat pilihan atau akan memilih pilihan yang ke-3.

Kepada pemimpin-pemimpin Melayu, jangan kesal nanti jika kami akan memilih musuh kita dan musuh kamu sendiri selama ini. Jika politik pemimpin merasakan segalanya mungkin, kita juga merasakan kemungkinan pilihan ini  boleh berlaku.

Kita hanya mampu berharap segalanya dapat diredakan untuk kita tidak terpaksa memilih pilihan ke-3 dari  2 pilihan yang kita ada.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis blog 'bERANIKAN hATI' dan tidak semestinya mewakili pandangan Rakyat News.

Sunday, 7 June 2015

Anwarinas Tumbang : Pro Ulama Kuasai Pemuda dan Muslimat PAS



 Muktamar Dewan Pemuda dan Muslimat PAS Pusat berakhir dengan kemenangan kumpulan pro ulama apabila Ustazah Nuridah Salleh merampas semula jawatan Ketua Muslimat PAS dari penyandang sebelum ini, Siti Zailah Mohd Yusoff.

Keputusan yang diumumkan sekitar jam 12 tengah malam tadi menyaksikan kemenangan agak tipis apabila Ustazah Nuridah mendapat 359 undi manakala Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang , menerima 329 undi.

Kedua-dua wanita bertanding antara satu sama lain dalam pemilihan parti sebelum ini pada tahun 2011 dan 2013, dengan Siti Zailah menang di kedua-dua kali.

Untuk rekod, Ustazah Nuridah pernah memegang jawatan itu pada tahun 2007 hingga 2011 .

Jawatan Timbalan Ketua Muslimat turut mengumumkan kemenangan Rosni Adam dengan memperolehi 414 undi menewaskan Dr Siti Mariah Mahmud sebanyak 274 undi.

Seramai 688 perwakilan mengundi dalam muktamar PAS Muslimat yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam.

ARTIKEL BERKAITAN -NIK ABDUH MENANG KETUA PEMUDA PAS

Shabery Nafi Keluar Awal Ketika Mesyuarat Kabinet



 Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menafikan terdapat beberapa menteri keluar daripada mesyuarat Kabinet pada Rabu disebabkan perselisihan pendapat.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu merupakan antara tiga menteri yang dilaporkan keluar awal daripada mesyuarat Kabinet.
"Semua yang diperbincangkan adalah secara baik. Kita mungkin berdebat mengenai perkara tertentu tetapi akhirnya ia perlu dimaklumkan kepada Kabinet.
"Ini kerana sekiranya ia melibatkan wang rakyat kerana rakyat fikir hasil Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) digunakan untuk menyelamatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)," katanya pada Selasa.
Beliau berkata, dengan tadbir urus itu, menteri-menteri Kabinet akan membiarkannya kepada sistem untuk menyiasat sekiranya terdapat sebarang salah laku.
Beliau mempersoalkan kredibiliti media yang membuat laporan mendakwa terdapat menteri keluar awal daripada mesyuarat Kabinet itu.
"Apabila saya menafikan laporan mereka di Twitter saya, ia akan menjejaskan kredibiliti di kalangan pembacanya.
"Tweet saya boleh menjadi viral, begitu juga Khairy Jamuluddin (Menteri Belia dan Sukan) menafikan 'mogok' tersebut. Rakyat akan mempersoalkan laporan mereka dan kredibilitinya pada masa akan datang," kata Ahmad Shabery.
Beliau memuat naik sekeping gambar berupa artikel di akaun rasmi Twitternya @shaberyc dengan menyatakan bahawa "Apakah ini cara baru melariskan akhbar dengan mencipta cerita sensasi yang tidak benar?"
Terdahulu, Khairy memberi respons berhubung dakwaan itu di Twitter dengan mengatakan: "Saya meninggalkan mesyuarat lebih awal kerana perlu menaiki penerbangan ke Kemboja. Satu cubaan yang bagus."
Akhbar China Press dilaporkan bahawa tiga menteri Kabinet iaitu Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Ahmad Shabery Cheek dan Khairy Jamaluddin keluar lebih awal daripada mesyuarat Kabinet yang dihadiri mereka pada Rabu.

Saturday, 6 June 2015

Presiden PAS : Hadi Awang Menang Besar Tewaskan Ahmad Awang



Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya mempertahankan jawatan Presiden PAS dengan jumlah undian terbesar menewaskan pesaingnya, Ustaz Ahmad Awang pada pemilihan kali ini untuk sesi 2015-2017.

Abdul Hadi memperolehi 928 undi manakala Ahmad Awang pula sekadar mendapat 233 undi.

Ianya menunjukkan bahawa lebih 80 peratus perwakilan telah mengundi Abdul Hadi dan membuktikan beliau masih releven dalam memimpin parti Islam itu.

Keputusan ini juga mencatatkan detik bersejarah buat dirinya yang buat pertama kali berhadapan dengan pertandingan sepanjang memegang jawatan tersebut.

Keputusan itu diumumkan oleh Pengarah Jawatankuasa Pemilihan PAS Asmuni Awi diiringi dengan laungan takbir.

Kemenangan Abdul Hadi ini bakal menggugat kerjasama Pakatan Rakyat setelah DAP secara rasmi mengambil ketetapan memutuskan sebarang kerjasama bersama beliau.

'Saya Akan Terus Berjuang' - Najib



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar akan meneruskan perjuangan memimpin rakyat di negara ini walaupun menerima desakan agar berundur dari sesetengah individu tertentu.

Beliau berkata demikian setelah melihat sokongan rakyat termasuk di Sarawak yang benar-benar memberikan semangat terhadap beliau.

"Saya tidak akan patah semangat, darah dalam diri saya ini bukan darah sembarangan, saya mungkin dilihat ada kalanya bersemangat diplomatik, tapi semangat kepahlawanan tetap ada dalam saya.

"Jangan pandang rendah saya, saya akan terus berjuang, dan saya yakin BN Sarawak akan bersama saya," katanya ketika berucap di hadapan 10,000 rakyat Sarawak yang hadir pada  Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Stadium Perpaduan di sini hari ini.

Beliau turut memberi jaminan masyarakat Sarawak akan terus menjadi keutamaan di samping menyatakan sokongan terhadap Ketua Menterinya, Tan Sri Adenan Satem.

"Ketua Menteri Sarawak (Tan Sri Adenan Satem) tadi kata awak tidak berseorangan, saya sambut dengan (berkata) saya gembira kerana saya tidak berseorangan," ujarnya.