PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Thursday, 21 May 2015

MT UMNO Nyata Sokongan Terhadap PM, TPM



KUALA LUMPUR: Majlis tertinggi UMNO hari ini menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Meskipun diasak dengan pelbagai permasalahan serta isu-isu panas sejak kebelakangan ini, namun Najib selaku Perdana Menteri masih mendapat sokongan penuh dalam kalangan anggota UMNO.
Najib berkata, barisan kepimpinan UMNO mahu semua pemimpin bersatu bagi menangani cabaran dalam memperkukuhkan lagi parti itu.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn di sini, petang tadi.
Ujarnya segala khabar angin yang tersebar sebelum mesyuarat berlangsung terbukti tidak benar dan pihak yang menyebarkan hal itu semestinya akan kecewa dengan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat hari ini.
Dalam pada itu, ujarnya, beliau telah mengadakan satu pertemuan secara peribadi bersama dengan Muhyiddin bagi membincangkan perihal parti itu.
Beliau turut menghargai segala idea bernas yang disampaikan oleh Timbalan Presiden Parti itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi yang berlangsung, hari ini.
Tegasnya, beliau akan memastikan tiada usaha untuk memecah belahkan pimpinan parti itu dilakukan khususnya terhadap beliau dan Muhyiddin.

Wednesday, 20 May 2015

Setiap Perdana Menteri Lakukan Yang Terbaik Untuk Negara – Najib



KLANG: Setiap perdana menteri melakukan yang terbaik serta mempunyai jasa dan sumbangan buat negara pada zaman masing-masing, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Apa yang penting, (ialah) untuk kita lakukan yang terbaik dalam zaman kita kerana sejarah akan menilai kita, dan saya berazam untuk melakukan terbaik untuk rakyat,” katanya pada majlis ‘Sepetang bersama Perdana Menteri’ anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Selangor dengan kerjasama Badan Perhubungan UMNO Selangor di sini, Sabtu.
Najib berkata: “Kita tahu jasa Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri PertamaTunku Abdul Rahman Putra Al-haj) kepada negara. Saya tidak boleh kata (saya) lebih baik daripada (ayahanda) Abdul Razak (Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein) dan juga pemimpin-pemimpin lain yang menjadi perdana menteri.”
Sehubungan itu, katanya, beliau tidak menganggap dirinya sebagai perdana menteri yang terbaik berbanding lima perdana menteri sebelum ini.
Najib mengulas kenyataan Yang Dipertua Mubarak Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar dalam ucapan aluannya yang menganggap beliau sebagai perdana menteri terbaik berbanding perdana-perdana menteri Malaysia sebelum ini.
Turut hadir Pengerusi UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar serta kira-kira 2,000 orang tetamu. Najib berkata beliau tidak mempunyai niat lain dalam menjalankan tugasnya memimpin negara selain berusaha dengan terbaik untuk bersikap telus kepada rakyat.
Malah, katanya usaha kerajaan melaksanakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah membantu dalam perkembangan ekonomi negara.
“Dari segi ETP dan GTP, kita telah capai kadar 6 peratus. Beberapa negara boleh capai kadar itu? Kita boleh bilang dengan jari sebelah tangan dan kita telah atasi banyak negara lain.
“Malah, sejak saya jadi perdana menteri, kadar penambahan GNI (ukuran kekayaan negara) dalam tempoh lima tahun bertambah 49 peratus dan ini bererti kekayaan negara kita telah bertambah,” katanya.
Najib turut mengulangi komitmennya untuk melakukan yang terbaik buat rakyat dan negara, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan kritikan daripada pelbagai pihak.
Mengulas mengenai kritikan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadapnya, beliau berkata setiap perdana menteri mempunyai cabaran dan ujian tersendiri ketika zaman masing-masing termasuk Dr Mahathir.
“Ketika berdepan ujian UMNO diharamkan pada 1987, Dr Mahathir berkata jika beliau menang satu undi pun, beliau akan tetap jadi perdana menteri…dan walaupun hampir 50 peratus anggota UMNO tolak kepimpinannya, beliau tetap tidak turun.
“Maknanya, saya juga amalkan prinsip yang sama. Kalau hari ini saya dapat sokongan, kenapa saya patut turun? Saya dipilih melalui proses demokrasi dan yang pilih saya ialah anda semua,” katanya.
Mengenai sistem pemilihan baharu UMNO dengen meminda Perlembagaan parti itu pada 2009 dan dilaksanakan pada pemilihan jawatan parti itu pada 2013, Najib berkata ia dilakukan bagi menjamin pemilihan yang lebih telus dan terbuka termasuk dalam pemilihan jawatan tertinggi parti.
“Jika ikut perlembagaan UMNO dahulu, kalau nak cabar presiden parti mesti dapat minimum undi daripada 63 bahagian. Jadi, Dr Mahathir bolehlah kekal selama 22 tahun menjadi presiden parti dan perdana menteri bila guna perlembagaan macam itu.
“Saya bagaimanapun nak UMNO lebih terbuka di mana kita biar, jika ada orang nak bertanding (untuk jawatan presiden parti) tetapi Alhamdulillah, saya menang tanpa bertanding dan saya tidak bergantung kepada kuota atau undi bonus,”katanya.
Sebelum pindaan Perlembagaan UMNO pada 2009, seseorang yang mahu bertanding jawatan tertinggi parti perlu terlebih dahulu mendapat jumlah atau kuota sokongan tertentu daripada 191 Bahagian UMNO.
Mengulangi falsafah Bugis yang berbunyi “walau bumi berkeping dua, tak kanmungkin ku berbalik haluan’ sebagai pegangannya, Najib menegaskan beliau tetap meneruskan perjuangannya bukan kerana kuasa tetapi kerana iltizamnya untuk melakukan sebaik mungkin,termasuk meneruskan agenda dalam memastikan Malaysia mencapai status negara maju menjelang 2020.
“Agenda untuk pastikan UMNO dan BN terus berkuasa di bumi bertuah ini jugawajib kita perjuangkan. Kita akan rapatkan barisan kita dan berusaha lebih gigih lagi untuk pastikan PRU (Pilihan Raya Umum) ke-14, BN akan berjaya seterusnya pastikan bumi Malaysia ini terus dipimpin oleh BN,” katanya bersemangat sambil disambut dengan sorakan padu daripada mereka yang hadir.
-mstar

Tuesday, 19 May 2015

Nasib BN malang jika PRU diadakan sekarang


SHAH ALAM – Susulan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kenaikan kos sara hidup, BN mungkin berdepan kekalahan jika Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) jika ia diadakan dalam waktu terdekat ini.
Malah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, jika isu ini tidak ditangani dengan baik, rakyat akan ‘lari’ kepada parti politik yang mampu membantu mereka.
“Di negara barat, mereka (rakyat) akan lebih memilih untuk ‘apolitical’ iaitu tidak berminat langsung dengan politik… menolak terus politik jika ada perbalahan parti. Kesan kepada itu pada pilihan raya selalunya jumlah keluar mengundi turun, sebab mereka dah tak percaya pada parti politik.
“Tapi di Malaysia lain sedikit. Lagi mereka (parti politik) berbalah, rakyat makin mula minat politik. Dengan kewujudan media sosial buka ruang untuk rakyat suarakan pandangan tanpa sekatan. Jadi, apabila rakyat rasa terbeban dengan sistem ekonomi sekarang, mereka akan bersuara dan mendekati parti politik yang mana mereka rasa perjuangkan hak mereka,” katanya kepada Sinar Online.
Menurutnya lagi, PR boleh menang pada PRU14 dengan syarat pakatan pembangkang itu kukuh tidak goyang seperti sekarang.
“Kalau ada pilihan raya pada masa sekarang, agak sukar untuk BN. Isu ekonomi ini yang dihadapi oleh semua peringkat rakyat akan menghambat BN. Kalau mood politik pada hari ini kekal hingga PRU14, berat sikit untuk BN menang tapi dengan syarat PR tidak berpecah belah, kukuh.
“jika PR pun berpecah belah, kita kena lihat kemudianlah bagaimana suasana ketika itu nanti, sekarang tak boleh nak jangka lagi macam mana,” katanya.
Mengulas soal pengumuman kerajaan berhubung isu kad tambah nilai baru-baru ini, beliau menyifatkan kerajaan ‘terlupa’ bahawa golongan pelajar paling ramai terkesan dalam isu berkenaan.
“Pada saya pengumuman menteri berkenaan GST dikenakan ke atas kad tambah nilai itu tidak menyelesaikan keadaan. Walaupun alasan menteri sebelum ini sebut ramai warga asing guna prabayar, saya rasa tidak juga begitu. Paling banyak guna adalah golongan bawahan, pelajar.
“Golongan pelajar terutamanya yang sepatutnya dijaga pihak menteri sebab mereka ini pengundi dalam pilihan raya akan datang. Jika mereka tidak percaya pada parti politik tertentu, saya percaya parti politik itu akan terjejas teruk. Sebab isu-isu ini melibatkan kehidupan mereka. pengaruhnya besar. Faktor ekonomi memang boleh memberi kesan kepada politik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau membangkitkan soal sasaran Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 namun sehingga kini, gaji minimum masih belum meningkat.
“GST memang baik tapi tempoh matangnya lambat. Jadi, apabila laksana GST, banyak barang naik… di situ isu penguatkuasaan. Perlu dimantapkan oleh pihak kerajaan. Kalau nak capai tahap matang pula, pendapatan isi rumah perlu dinaikkan.
“Sekarang ini, pendapatan isi rumah tak naik. Bila nak naik? Kalau tak naik, ia akan beri kesan yang tidak baik dari segi ekonomi di mana inflasi akan meningkat, rakyat pun tidak banyak berbelanja sebab terlalu berjimat cemat dalam perbelanjaan mereka. Jadi, pusingan ekonomi itu akan kurang dan beri kesan kepada pertumbuhan ekonomi. GST ini banyak kesan rantaian.
“Sasaran tahun 2020 Malaysia akan jadi negara berpendapatan tinggi, tapi yang nak naikkan pendapatan itu bila? Itu yang kita tak tahu,” katanya.-sinar harian

Monday, 18 May 2015

Bot Karam Di Sungai Tiang, Mangsa Belum Ditemui



BAGAN DATOH: Dua buah bot milik nelayan karam setelah berhadapan dengan angin kencang dan ribut yang kuat berhampiran Sungai Tiang di sini pagi semalam.
Menurut sumber, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Perak, laporan kehilangan di terima melalui laporan daripada Balai Polis Rungkup sekitar jam 2.30 petang semalam.
IMG-20150518-WA0005
Mangsa 49 tahun berbangsa Cina, dilaporkan hilang sekitar jam 11 pagi semalam.
Setakat ini, operasi mengesan dan mencari mangsa yang hilang sedang giat dijalankan oleh pihak penyelamat.
IMG-20150518-WA0006
Operasi menyelamat turut disertai agensi penyelamat seperti pihak Bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bantuan para nelayan.

Sunday, 17 May 2015

'Saya Tak Terbabit Kes Altantuya' - Najib



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan adalah tidak adil untuk memaksa beliau membuka semula siasatan berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Sharibuu, sedangkan mahkamah sudah memutuskan siapa yang bersalah.
Perdana Menteri berkata, kes itu sudah disiasat, dibicara dan diselesaikan di Mahkamah Persekutuan dan sewajarnya keputusan mahkamah itu adalah pengakhirannya.
"Saya tidak terbabit dan tidak tahu apa-apa mengenainya. Mahkamah telah mendapati siapa yang bersalah atas pembunuhan itu. Itu seharusnya menjadi pengakhiran cerita," katanya menerusi laman web rasminya NajibRazak.com sebagai menjawab 13 perkara yang dibangkitkan pihak tertentu.
Najib berkata, walaupun kes itu sudah lama berlalu tetapi ia terus "dikitar semula" oleh pihak pembangkang.
Katanya, memandangkan ia satu kes yang panjang, pihak tertuduh mempunyai cukup masa untuk menyatakan segala-galanya kepada mahkamah.
"Justeru, mengapa kita mendengar pula individu yang keterangan mereka sudah diberikan dan yang didapati bersalah melakukan jenayah itu?
"Apa yang penting, penghakiman itu memberikan keadilan kepada semua, paling penting kepada keluarga mangsa, terhadap tertuduh dan malah kepada saya," katanya.
Perdana Menteri berkata, rakyat perlu faham bahawa dalam politik banyak perkara yang dimainkan dan kes pembunuhan wanita Mongolia itu adalah satu daripadanya.
Katanya, kes itu menjadi panas pada masa itu kerana beliau bakal menjadi perdana menteri dan pihak pembangkang memerlukan sesuatu untuk menghalangnya.
"Kerana kedua-dua pengawal peribadi itu pernah bertugas dengan saya dan Razak Baginda adalah seorang rakan, maka mereka cuba mengaitkannya dengan saya.
"Pakatan dan media mereka secara tidak bertanggungjawab bermain perang saraf dengan cuba mengaitkan saya dan mempengaruhi persepsi.
"Bahkan mereka telah memalsukan gambar saya sedang makan malam dengan mangsa di sebuah restoran.
"Dalam era media sosial, perkara seperti ini mudah tersebar tanpa kawalan, termasuk gambar palsu itu," katanya.

Saturday, 16 May 2015

Azizah Mahu Laksana Kabinat Bayangan



Selepas dilantik sebagai Ketua Pembangkang baru, menggantikan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Wan Azizah hari ini mengumumkan ingin melaksanakan kabinet bayangan dari kalangan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR).

Menurut Azizah, kewujudan kabinet bayangan ini sebagai alternatif daripada pihak PR kepada barisan menteri kabinet Barisan Nasional (BN) kini.

"Perbincangan hati ke hati yang kita bakal lakukan adalah dengan mengambil kira dasar bersama PR bertujuan untuk mematahkan dakyah politik perkauman dan agama oleh kerajaan Barisan Nasional," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Azizah hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen untuk kesekian kalinya selepas memenangi jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan tersebut awal bulan ini.

Jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh pernah disandang Azizah sebelum ini namun dilepaskannya secara sukarela selepas suaminya ingin memasuki semula arena politik pada 2008.

Anwar walaubagaimanapun kini hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun ekoran didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan enam tahun lalu.

Friday, 15 May 2015

Sokong Kit Siang, Khalid Samad Tak Kisah Digelar Barua



Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menyatakan dirinya tidak kisah digelar barua sekiranya itu gelaran baginya yang mempertahankan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berhubung isu ceramah hudud di Kelantan.

Khalid yang rapat dengan ramai pemimpin DAP menegaskan, beliau tidak meminta keredhaan kumpulan yang menggelarkannya barua tetapi meminta keredhaan daripada Allah.

“Ya, saya tahu dan faham bahawa saya akan turut ‘dibaruakan’ atas sebab tulisan saya ini. Biarkan. Golongan yang tiada hujjah akan menggunakan pendekatan caci maki.

“Biasalah. Kalau sudah akhlak mereka begitu, memang tidak mampu saya katakan apa-apa. Namun bukan keredhaan mereka yang saya inginkan pun, maka ada saya kisah?" katanya lapor Malaysiakini.

Beliau hari ini mempertahankan ucapan Lim pada 10 Mei lalu di Kota Bahru yang didakwa menghina hudud dan Islam.