PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Tuesday, 3 March 2015

Lebih 95 Peratus Pelajar Lulus STPM



Kebanyakan negeri mencatatkan keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2014 yang diumumkan Isnin dengan ada di antaranya mencatatkan peratusan lulus penuh satu hingga lima mata pelajaran melebihi 90 peratus.

Di KUANTAN, sejumlah 2,363 atau 99.08 peratus calon lulus penuh dalam peperiksaan STPM 2014 bagi negeri Pahang berbanding 98.07 peratus pada tahun sebelumnya.

Pengarah Pendidikan Pahang Rosdi Ismail berkata daripada jumlah itu, sebanyak 0.55 peratus calon lulus penuh lima mata pelajaran (5P) dan 72.29 peratus lulus penuh dalam empat mata pelajaran (4P).

Katanya, prestasi calon yang memperoleh keputusan yang baik iaitu Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.00 turut meningkat iaitu 844 calon atau 35.99 peratus berbanding 30.82 pada 2013.

Di SEREMBAN, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan Datuk Kalsom Khalid berkata sebanyak 1,242 daripada 1,263 calon atau 98.3 peratus lulus dengan mendapat sekurang-kurangnya satu mata pelajaran peringkat prinsipal.

Beliau berkata sebanyak 14 pelajar pula memperoleh PNGK 4.00.

Di PULAU PINANG, Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Osman Hussain berkata sejumlah 2,372 atau 97.05 peratus daripada 2,444 calon STPM 2014 lulus penuh, menurun 0.23 peratus berbanding 2013.

Beliau berkata sebanyak 50 calon memperoleh keputusan cemerlang PNGK 4.00 sementara 30 calon lulus lima prinsipal serta 1,619 lulus empat prinsipal.

Di SELANGOR, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Mohd Salleh Mohd Kassim berkata sebanyak 97.05 peratus daripada 4,409 calon memperoleh kelulusan penuh bagi semua mata pelajaran yang diambil.

"Dua calon memperoleh keputusan cemerlang semua A bagi lima mata pelajaran manakala 51 calon pula mendapat semua A bagi empat mata pelajaran," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datin Nawal Salleh berkata sebanyak 1,044 daripada 1,074 calon atau 97.21 peratus calon lulus penuh peringkat prinsipal, menurun 0.57 peratus berbanding tahun 2013.

Beliau berkata seramai 27 calon lulus Gred A dalam lima dan empat mata pelajaran dengan memperoleh PNGK 4.00 pada STPM 2014 berbanding 38 calon yang mendapat gred yang sama pada tahun sebelumnya.

Di ALOR SETAR, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Datin Azuyah Hassan dalam satu kenyataan berkata pencapaian lulus penuh 100 peratus meningkat sebanyak 0.53 peratus pada tahun 2014 iaitu 98.88 peratus berbanding 98.35 peratus pada 2013.

Beliau berkata seramai 28 calon memperoleh PNGK 4.00 berbanding tahun 2013 iaitu 33 orang.

Di SABAH, Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Jame Alip berkata seramai 5,903 daripada 6,069 calon atau 97.28 peratus lulus penuh.

Beliau berkata sebanyak 16 calon STPM 2014 di negeri itu memperoleh PNGK 4.00, berbanding 15 calon pada tahun sebelumnya.

Di PERAK, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Zulkurnaini Hussin berkata seramai 3,892 daripada 3,971 calon memperoleh kelulusan penuh.

"Daripada jumlah itu, seramai 48 calon lulus lima prinsipal serta 2,689 lulus empat prinsipal," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata seramai 53 pelajar memperoleh PNGK 4.00 pada 2014, menurun 1.33 peratus berbanding 2013.

Di MELAKA, Pengarah Pendidikan negeri Datuk Md Rashid Hussin berkata sejumlah 1,215 daripada 1,228 calon mendapat keputusan lulus penuh, meningkat 0.38 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata seramai 813 pelajar memperoleh keputusan empat prinsipal pada tahun lepas berbanding 957 pada 2013.

Di JOHOR BAHARU, seramai 43 calon di negeri ini memperoleh PNGK 4.00 pada peperiksaan STPM 2014 berbanding 77 calon pada peperiksaan tahun sebelumnya.

Pengarah Pendidikan Johor Aminudin Adam berkata jumlah calon yang lulus penuh satu hingga lima mata pelajaran pada STPM 2014 meningkat 0.18 peratus kepada 4,790 pelajar berbanding 6,009 pada 2013.

Beliau berkata 55 sekolah daripada 90 sekolah mencapai kelulusan penuh 100 peratus manakala PNGK negeri kekal 2.70 mata.

Di KUALA TERENGGANU, calon luar bandar negeri Terengganu menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan seramai 737 orang mendapat 5P dan 4P berbanding 716 calon bandar.

Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Zakaria Hussin berkata jumlah peratusan calon yang lulus penuh 5P dan 4P di negeri itu meningkat kepada 73.31 peratus pada tahun 2014 berbanding 64.23 peratus pada 2013.

Di KOTA BAHARU, sejumlah 2,649 atau 70.96 peratus calon sekolah bantuan kerajaan memperoleh keputusan 5P dan 4P berbanding 3,422 calon pada 2013.

Di KANGAR, Pengarah Pendidikan Perlis Roslee Ismail berkata seramai 477 daripada 485 calon lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran peringkat prinsipal.

Di SARAWAK, sejumlah 4,834 orang (atau 97.34 peratus) daripada 4,973 calon sekolah lulus dalam STPM pada tahun 2014 berbanding dengan 5,897 calon (96 peratus) pada tahun sebelumnya.

Menurut kenyataan Jabatan Pendidikan Sarawak, seramai 40 calon sekolah (atau 0.81 peratus) mencapai PNGK 4.00 berbanding 39 pada tahun sebelumnya.

Monday, 2 March 2015

Hina PM, Isteri : NGO Lapor Polis



 Tujuh badan bukan kerajaan (NGO) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat dan mengesan 'dalang' di sebalik tindakan sekumpulan individu menghina pemimpin kerajaan dan isterinya serta polis dalam Facebook dan YouTube, baru-baru ini.
   
NGO berkenaan ialah Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM), Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (Gegas), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Majlis Bendahara dan Akhlak Rahsia Cekal (ARC), yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.
   
Presiden MJMM, Datuk Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, pihaknya telah membuat tiga laporan polis terhadap individu dan kumpulan terbabit kerana menjatuhkan nama baik, imej dan maruah pemimpin negara dan institusi penguat kuasa.   
   
"Laporan pertama iaitu terhadap individu yang menggunakan nama akaun Facebook Chee Kong Lee, memuat naik gambar yang menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
   
"Laporan kedua pula mengenai tindakan individu dalam akaun Facebook Peter Lee yang memuat naik gambar isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang diedit," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.
 
Abdul Rani turut mengemukakan laporan polis mengenai klip video memaparkan tiga lelaki bertopeng menggelar diri mereka sebagai Anak Malaysia Anti Demokrasi (AMAD) yang mengancam untuk membunuh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
   
Baru-baru ini, sebuah video berdurasi satu minit 27 saat menjadi viral dalam media sosial YouTube, yang antara lain mengugut untuk membunuh Khalid dengan meletupkan keretanya.
   
Berikutan itu, Khalid dalam satu kenyataan Rabu lepas berkata beliau tidak gentar terhadap ugutan bunuh yang diterimanya dan langsung tidak bimbang kerana sebagai ketua polis, menerima ugutan bunuh adalah lumrah ketika menjalankan tugas.
   
Dua hari lepas, polis mengumumkan penubuhan sebuah pasukan khas bagi menyiasat kes ugutan bunuh oleh kumpulan AMAD terhadap ketua polis negara. Polis juga sedang bekerjasama dengan SKMM untuk mengenal pasti individu yang terlibat dalam ugutan itu.
   
"Kami menggesa PDRM dan SKMM menyiasat dan menangkap individu dan kumpulan berkenaan yang cuba mencetuskan kontroversi dan bawa mereka ke muka pengadilan dengan memberikan hukuman berat terhadap pesalah itu supaya dapat menjadi pengajaran dan contoh kepada penjenayah lain," kata Abdul Rani.

SPM 2014 : 11,289 Calon Dapat A Semua Subjek



 Seramai 11,289 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2014 memperoleh keputusan cemerlang (Gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 13,970 pada 2013.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, berkata sebilangan besar calon yang memperoleh keputusan cemerlang itu terdiri daripada kumpulan calon yang menduduki sembilan dan 10 mata pelajaran.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Analisis Keputusan SPM 2014 di sini hari ini.

Beliau berkata, nilai Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun lalu adalah 5.08 berbanding 4.93 pada 2013.

"Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik," katanya.

Kehadiran Anwar Ke Parlimen Bergantung Kepada Lembaga Pengampunan



Status permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri persidangan Dewan Rakyat hanya akan diketahui selepas Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan berhubung petisyen pengampunan yang dikemukakan keluarga ketua pembangkang itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau  menerima surat permohonan daripada peguam Anwar, S. Sivarasa mengenai perkara itu dan telah merujuk kepada Jabatan Peguam Negara serta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

"Sebagaimana yang diketahui, ia tertakluk kepada interpretasi perundangan tetapi yang lebih penting ialah Lembaga Pengampunan belum bersidang maka tentunya keputusan kita juga tertangguh.

"Lembaga Pengampunan hanya akan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong," katanya selepas menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita apabila ditanya mengenai status permohonan Anwar, yang juga anggota Parlimen Permatang Pauh, untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat yang bermula 9 Mac ini.

Zahid berkata Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal penjara hanya boleh membuat keputusan mengenai kedudukan seseorang anggota Parlimen mengikut interpretasi perundangan.

"Terutama perkara 48 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Penjara serta undang-undang berkaitan dengan anggota Parlimen," katanya.

Pada 23 Februari lepas, isteri Anwar Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta dua anak mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha, mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi pihak ketua pembangkang itu berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pada 10 Februari lepas, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar dan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun dihadapinya bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful Bukhari pada 26 Jun, 2008.

Komplot Guling Presiden: PAS Siasat Mat Sabu, Hatta Ramli



Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Bendahari Agung parti, Dr Hatta Ramli akan dipanggil Jawatankuasa Khas siasatan parti untuk disiasat berhubung dakwaan menjadi dalang kepada gerakan menjatuhkan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, kedua-dua pemimpin kanan parti itu akan dipanggil dalam masa terdekat.

"Yang buat tuduhan, kita panggil. Yang kena tuduh, pun kita akan panggil," katanya.

Dalam satu himpunan di hadapan Pejabat Agung Pas di Kuala Lumpur awal bulan lalu, sekumpulan ahli parti itu yang diketuai Ketua Dewan Pemuda Pas Kuantan, Fadhli Ibrahim mendesak komplot yang didakwa diketuai Dr Hatta melepaskan semua jawatan dalam parti kerana dikatakan terlibat dengan gerakan mahu menjatuhkan Abdul Hadi sebagai Presiden Pas.

Dalam pada itu, Mustafa yang ditemui selepas majlis agihan bantuan banjir di Dewan Jubli Perak, semalam yakin Abdul Hadi akan mengekalkan jawatan tanpa pertandingan pada pemilihan Jun ini.

Ini kerana pada pandangannya, tidak ada calon lain mampu mencabar Abdul Hadi.

“Desas-desus kononnya Datuk Seri Presiden akan digulingkan tidak mungkin terjadi, sebaliknya kita yakin Presiden akan terus mendapat sokongan penuh untuk mengekalkan jawatannya, malah selepas 2015 kita akan terus saksikan Abdul Hadi kekal menerajui Pas,” katanya.

Ditanya pula mengenai kemungkinan jawatan timbalan presiden yang disandang Mohamad Sabu akan dicabar sekali lagi pada pemilihan parti itu nanti, Mustafa berkata, jawatan tersebut dijangka bakal dipertandingkan.

“Saya yakin Abdul Hadi kekal sebagai presiden. Timbalan, saya tidak tahu. Jawatan timbalan sentiasa berlawan, saya jangka ada pertandingan seperti biasa,” katanya.

Kepimpinan Abdul Hadi kini didakwa goyah berikutan gerakan tersusun kumpulan tertentu dalam parti itu yang ingin menjatuhkannya sehingga ada secara terbuka menyatakan sokongan kepada Mat Sabu untuk bertanding merebut jawatan presiden.

Sunday, 1 March 2015

Mustafa Ali : PAS Ikrar Gagalkan Usaha Guling Hadi Awang



PAS akan mempertahankan ke­dudukan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang daripada digulingkan dalam muktamar parti itu Jun ini.

Penegasan itu dinyatakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali sambil memberi jaminan bahawa tidak akan ada mana-mana pemimpin dalam kalangan parti itu sanggup mencabar Abdul Hadi untuk jawatan Presiden pada pemilihan kelak.

"Desas-desus kononya Abdul Hadi bakal digulingkan tidak mungkin menjadi kenyataan sebaliknya, beliau yakin Presiden PAS itu akan terus mendapat sokongan penuh bagi mengekalkan jawatan tersebut.

“Saya yakin tidak ada calon akan lawan presiden. Selepas tahun 2015 kita akan saksikan Abdul Hadi terus kekal menerajui PAS,” katanya kepada pemberita selepas majlis kutipan dana pasca banjir di Dewan Jubli Perak di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Dewan Ulama PAS negeri, Datuk Hassan Mahmood.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desas-desus bahawa jawatan Abdul Hadi sebagai Presiden bakal dicabar dalam Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat yang akan diadakan pada Muktamar Tahunan PAS Ke-61, Jun depan.

Kepemimpinan Abdul Hadi kini berada dalam keadaan goyah berikutan gerakan tersusun kumpulan-kumpulan tertentu di dalam PAS yang ingin menjatuhkannya termasuk dalam kala­ngan pemimpin parti itu yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada Timbalan Presiden, Mohamad Sabu untuk bertanding jawatan Presiden.

Abdul Hadi bagaimanapun, masih mendapat sokongan padu kumpulan ulama dan perkara itu dinyatakan pada Multaqa Ulama SeMalaysia II baru-baru ini sehingga wujud desakan mahu Mohamad Sabu dan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Hatta Ramli dipecat.

Sebelum ini, Ketua Dewan Pemuda PAS Kuantan, Fadhli Ibrahim mendedahkan terdapat komplot terancang yang dipercayai didalangi sekumpulan pemimpin kanan PAS dengan matlamat menjatuhkan Abdul Hadi dan kepemimpinan ulama.

Sementara itu ketika ditanya kemungkinan jawatan Timbalan Presiden yang disandang oleh Mohamad Sabu akan dicabar sekali lagi pada pemilihan nanti, Mustafa berkata, jawatan tersebut dijangka bakal ada pertandingan.

“Saya yakin Abdul Hadi akan kekal sebagai presiden lagi, timbalan saya tidak tahu. Jawatan timbalan sentiasa berlawan, saya jangka memang ada pertandingan seperti biasa,” katanya.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan terhadap dakwaan Mohamad Sabu dan Dr. Hatta yang menjadi dalang kepada gerakan menjatuhkan presiden, Mustafa berkata, setakat ini, kedua-kedua pemimpin itu masih belum dipanggil untuk memberi penjelasan.

“Kita belum lagi panggil kerana masing-masing sibuk. Kita akan panggil dalam masa terdekat. Yang buat tuduhan kita panggil, yang kena tuduh kita panggil,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Penyerahan Peralatan Sukan Kepada Pemuda-Pemuda Sungai Nipah Baruh





Dr.Nik menyerahkan sumbangan peralatan sukan kepada pemuda-pemuda sungai nipah baruh.Terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan Penyerahan ini.