PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Wednesday, 23 July 2014

Hikmah Perpaduan Disebalik Nahas MH17 - TPM



MUARi - Usaha bagi merungkai tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 Khamis lepas telah dapat menyatupadukan rakyat di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 
 
Peristiwa itu, kata beliau, harus dijadikan iktibar oleh rakyat mengenai betapa pentingnya meningkatkan semangat kerjasama dan bersatu padu terutama dalam menghadapi insiden seperti itu. 
 
"Alhamdulillah, semangat kesatuan dan kesedaran di kalangan rakyat Malaysia dalam peristiwa ini amat jelas," kata beliau ketika berucap di majlis berbuka puasa bersama masyarakat setempat di Surau As-Saadiah di sini malam ini. 
 
Beliau berkata, ini dapat dibuktikan menerusi sidang Parlimen Khas hari ini di mana semua Ahli Parlimen termasuk daripada pembangkang sebulat suara mengutuk sekeras-kerasnya kejadian yang menyebabkan pesawat malang itu terhempas menyebabkan 298 penumpangnya termasuk anak kapal terkorban. 
 
Muhyiddin berkata, pada sesi khas itu, kerajaan dan pembangkang bersatu hati dan turut sama-sama menyuarakan rasa hiba mengenai tragedi itu. 
 
Muhyiddin turut mengulangi pendirian kerajaan untuk terus menuntut keadilan bagi mencari punca nahas pesawat MH17. 
 
"Kita sebagai kerajaan yang bertanggungjawab akan terus mengambil langkah-langkah untuk menuntut keadilan bagi semua yang terkorban. 
"Kita nak cari siapalah punca yang telah membawa kepada tragedi ini," katanya. 
 
Beliau turut mengakui tragedi MH17 juga menyebabkan ketibaan Syawal kali ini disambut dalam suasana hiba oleh masyarakat Malaysia. 
 
Terdahulu, Muhyiddin menyampaikan sumbangan UDA Holdings kepada 30 penerima golongan asnaf. 
 
Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Dr Syahruddin Md Salleh dan Pengarah Urusan UDA Holdings Ahmad Abu Bakar. 

Kak Wan Dari Singapura Ke Permatang Pauh Kini MB Selangor



ANALISISi - Samaada nasib baik, percaturan Datuk Seri Anwar Ibrahim ataupun pilihan parti, itu antara persoalan yang belum terjawab mengapa Datin Seri Wan Azizah dipilih sebagai Menteri Besar Selangor sekaligus menafikan jasa Tan Sri Khalid Ibrahim yang memasuki dua penggal bertugas sebagai orang nombor satu negeri.

Walaubagaimanapun, Wan Azizah atau Kak Wan dilihat bukanlah calon terbaik untuk bertindak mengurus tadbir negeri terkaya Malaysia sungguhpun mempunyai pengaruh kuat parti tambahan pula menjadi isteri kepada Anwar yang sememangnya mempunyai ramai penyokong.

Paling utama, Kak Wan bukanlah anak jati Selangor. Dengan didikan dari keluarga saudara Kedah dan Kelantan, Kak Wan dilihat lebih elok sekiranya diberi mandat dikawasan utara atau pantai timur negeri atau lebih baik dikawasan keramat suaminya, Permatang Pauh.

Tambah mengusutkan, bagaimana orang yang dilahirkan di Singapura mendapat mandat untuk menggantikan Khalid yang dikatakan lebih disenangi masyarakat Cina Selangor ekoran kurang karenah politik dan lebih bersifat 'bussiness minded' untuk menguruskan negeri.

Namun apa yang jelas, cakap-cakap untuk 'menggulingkan' Khalid bermula selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang Lee Chin Cheh meletakkan jawatannya dan seterusnya Anwar dicalonkan untuk mewakili PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) tersebut.

Seterusnya, Ahli Parlimen Pandan merangkap Pengarah Strategi parti, Rafizi Ramli mengumumkan Langkah Kajang sebagai gerakan reformasi untuk menukar jawatan nombor satu negeri.

Strategi yang pada awalnya kabur semakin nyata selepas Anwar menukar alamat Kad Pengenalannya ke 459, Pinggir Pelangi Pagi, Country Heights, 43000 Kajang, Selangor, beberapa hari kemudian.

Ianya adalah bagi membolehkan Anwar dipilih sebagai Menteri Besar sekiranya menang pada PRK tersebut.

Ibarat tersadung, Langkah Kajang tersekat setelah Anwar didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan diatas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan dan bakal dikenakan hukuman penjara lima tahun.

Apa yang boleh dilakukan PKR adalah untuk menggantikan individu yang mempunyai persona Anwar dengan segera lantas melantik Wan Azizah sepertimana yang dilakukan Anwar di Permatang Pauh suatu ketika dahulu.

Maka dengan secara rasminya, Wan Azizah memasuki arena politik Selangor setelah beliau berjaya mengalahkan Datin Paduka Chew Mei Fun (BN) di kawasan berkenaan.

Langkah Kajang yang sepatutnya menjadikan Anwar sebagai Menteri Besar bertukar strategi dan hasrat untuk 'menggulingkan' Khalid berjaya.

Tapi, apakah tiada calon lain yang lebih sesuia berbanding Wan Azizah? Apakan PAS tidak mahu merasai kerusi panas tersebut. Parti Islam itu secara amnya mempunyai jumlah kerusi DUN yang lebih banyak dari PKR seharusnya lebih lantang bersuara untuk mempertahankan haknya sebagai pemegang kuasa majoriti.

Tuesday, 22 July 2014

Rusia Dakwa Kesan Jet Pejuang Ukraine Hampiri MH17



KUALA LUMPUR- Kementerian Pertahanan Rusia hari ini mengeluarkan rakaman yang menunjukkan kehadiran sebuah pesawat pejuang Sukhoi 25 milik Ukraine yang berada dalam lingkungan 10 kilometer daripada pesawat MH17 pada awal pagi 18 Julai lalu.

Rakaman video berkenaan telah ditayangkan kepada pihak media dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Kedutaan Rusia di sini sebentar tadi.

Dalam sidang akhbar yang sama, Duta Rusia, Lyudmila Vorobyeva telah menegaskan kemunculan bukti baharu ini membuktikan bahawa negaranya tidak terlibat dalam insiden tersebut.

Bukti baharu itu juga kata beliau, perlu dipandang serius oleh pasukan penyiasat antarabangsa kerana kemunculan pesawat juang berkenaan menimbulkan pelbagai persoalan.

"Kami juga berharap dengan bukti terbaharu berkenaan, semua pihak dapat berhenti daripada menunding jari menuduh Rusia bertanggungjawab ke atas insiden ini," tegas beliau.

Lyudmila dalam sidang akhbar yang sama turut menegaskan bahawa negaranya tidak pernah membekalkan sebarang sistem persenjataan canggih kepada pemberontak pro-Rusia.

"Segala senjata pertahanan udara canggih yang mereka miliki diperoleh daripada rampasan perang ketika mereka bertempur dengan pihak tentera Ukraine," jelas beliau.

AL-Fatihah kepada mereka yang terkorban dalam insiden MH17


Pemuda BN Desak Dalang MH17 Diheret ke Muka Pengadilan



KUALA LUMPURi - Pemuda Barisan Nasional (BN) mendesak pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 diheret ke muka pengadilan.

Naib Ketua Pemuda BN, Khairul Azuan Harun berkata, tindakan pihak pemberontak Ukraine menyerahkan kotak hitam dan jenazah mangsa semata-mata tidak cukup menyelesaikan insiden yang disifatkan sebagai satu jenayah dunia.

"Pemulangan dua kotak hitam dan jenazah mangsa tidak mencukupi, sebaliknya keadilan mesti ditegakkan dalam usaha kita mencari siapakah penjenayah sebenar.

"Kami minta tiada mana-mana negara melindungi penjenayah ini," katanya kepada pemberita bersama ratusan peserta yang membuat bantahan di hadapan Kedutaan Rusia hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan persefahaman dicapai dengan kumpulan pemisah pro-Rusia di Ukraine untuk menyerahkan kesemua 282 mayat mangsa pesawat MAS MH17 yang terbunuh dalam tragedi nahas Khamis lalu.

Beliau turut mengesahkan  dua kotak hitam pesawat MH17 yang terhempas di Ukraine akan diserahkan oleh puak pemberontak kepada pasukan Malaysia di Donetsk pada 9 malam ini (waktu Ukraine).

Tambahnya, puak pemberontak juga memberi janji keselamatan bagi membolehkan pasukan penyiasat termasuk dari Malaysia menjalankan kerja-kerja penyiasatan di lokasi kejadian

Monday, 21 July 2014

Malaysia Desak Akses Penuh Lokasi MH17



KIEV  - Malaysia mendesak supaya akses tanpa had diberikan serta-merta ke lokasi nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 serta jaminan keselamatan bagi pegawainya dan pasukan siasatan bersama antarabangsa.

Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Malaysia juga menuntut bahawa pencarian semua jasad mangsa mesti dibenarkan, dikenal pasti dan dihantar pulang.

Beliau berkata Kuala Lumpur amat bimbang dengan situasi pasukan antarabangsa yang dihalang secara efektif oleh kumpulan pemberontak daripada memasuki lokasi kemalangan di Donetsk, wilayah timur Ukraine.

"Ia adalah penting bahawa kumpulan penyiasat antarabangsa serta anggota bencana diberikan akses penuh tanpa halangan ke lokasi nahas," kata Liow yang tiba di sini, Ahad.

Beliau berkata Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) merupakan satu-satunya badan antarabangsa yang setakat ini diberi akses untuk masuk ke lokasi pesawat untuk tempoh masa yang terlalu pendek.

Liow mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Volodymyr Groysman, yang juga merupakan pengerusi Suruhanjaya Khas Kerajaan Ukraine Mengenai MH17.

Beliau turut menemui Menteri Infrastruktur, Maksym Burbak dan Pengerusi Pentadbiran Penerbangan Awam, Denys Antonyuk.

"Kerajaan Ukraine telah menyatakan bahawa mereka tidak dapat mewujudkan satu laluan selamat ke tapak kemalangan serta jaminan di dalam mahupun sekitar kawasan itu untuk pasukan antarabangsa," katanya.

Liow berkata pasukan penyiasat antarabangsa terdiri daripada pegawai-pegawai dari Netherlands, Malaysia, Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara Britain (AAIB) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat.

Pasukan Siasatan Khas Malaysia, yang terdiri daripada 133 pegawai dan anggota bencana, pakar forensik, teknikal dan pakar perubatan, telah tiba di sini, Sabtu.

Penerbangan MH17, menggunakan pesawat Boeing 777-200ER, dipercayai telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu permukaan ke udara ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, Khamis lepas.

Pesawat dengan 298 penumpang dan anak kapal terhempas di wilayah Donetsk, bahagian timur Ukraine, sebuah wilayah yang dikawal oleh puak pemberontak pro-Rusia.

Liow berkata kerajaan Ukraine memaklumkan kepada pasukan penyiasat antarabangsa bahawa lokasi nahas adalah kawasan yang di bawah kawalan penuh kumpulan pemberontak.

Mengenai laporan kumpulan pemberontak telah mendapat kotak hitam pesawat MH17, Liow berkata Malaysia mendesak supaya bukti penting ini tidak diusik dan diserahkan kepada pasukan penyiasat antarabangsa.

"Walaupun dilaporkan komen oleh pemimpin pemberontak bahawa lokasi nahas tidak diusik dan bahan bukti tidak dicemari oleh mereka namun Malaysia amat bimbang di sebalik kenyataan itu," katanya.

Beliau berkata Malaysia amat bimbang dengan keadaan huru-hara yang jelas di lokasi nahas berikutan laporan kehadiran kumpulan pemberontak yang bersaing sesama mereka tanpa pemimpin yang jelas atau rantaian perintah.

Liow tiba di sini dengan diringi oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Pengerusi MAS, Tan Sri Md Nor Yusof.

Menteri Pengangkutan itu juga dijadual bertemu Duta Netherlands di Ukraine, Kees Klompenhouwer.

Cameron : Perbuatan Tembak Jatuh MH17 Tidak Boleh Diterima



LONDON  -  Perdana Menteri Britain, David Cameron menelefon Presiden Vladimir Putin dan menegaskan kepadanya bahawa tindakan menembak jatuh pesawat penumpang MH17 adalah perbuatan yang ‘tidak langsung boleh diterima’ dan berpendapat ia adalah tindakan pemisah Russia.

“Bukti menunjukkan bahawa pemisah pro-Russia bertanggungjawab dan Perdana Menteri menjelaskan bahawa jika Russia ingin menuding jari ke arah lain, negara berkenaan perlu memberi bukti nyata dan berwibawa,” kata kenyataan akhbar berhubung panggilan telefon dari pejabat Perdana Menteri Britain, Downing Street.

Cameron menggesa Putin supaya menggunakan pengaruhnya dengan pemisah pro-Russia bagi menjamin agar pakar dapat mengakses tempat kejadian di mana pesawat Penerbangan Malaysia terbabit terhempas, yang membunuh lebih 300 orang Khamis lalu, bagi tujuan mengumpul bukti dan mengeluarkan mangsa.

“Negara G7 dan Kesatuan Eropah (EU) juga mengulangi gesaannya agar Presiden Putin menghentikan sokongannya terhadap pemisah dan bekerjasama dengan seluruh dunia bagi mencari penyelesaian secara aman. Kegagalan Russia untuk melakukannya menyumbang kepada tragedi yang mengejutkan ini,” kata kenyataan itu.

“Menteri luar Eropah akan mengadakan mesyuarat di Brussels esok bagi menimbang sekatan tambahan ke atas Russia kerana sikapnya itu. Dunia kini sedang memerhati dan Presiden Putin mesti menukar haluan dan bekerja bagi membawa kestabilan di Timur Ukraine,” tegas kenyataan dari Downing Street itu.

Sementara itu, Putin semalam turut berjanji kepada Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte bahawa beliau akan membantu mengeluarkan mayat dan kotak hitam dari tempat pesawat MH17 itu terhempas di kawasan pemberontakan Ukraine.

Putin, yang dipercayai mempunyai pengaruh ke atas pemberontak pro-Russia, membuat janji itu dalam perbualan ketiganya dengan Rutte sejak kejadian berkenaan Khamis lalu, kata perkhidmatan media kerajaan Belanda, RVD.

“Selain membenarkan akses tiada halangan ke tempat kejadian, perbualan itu ditumpukan kepada perkara praktikal, seperti kereta api yang membawa banyak mayat dan penyerahan balik kotak hitam,” kata jurucakap RVD.

“Untuk kedua-dua perkara itu, Putin berjanji akan memberi kerjasama sepenuhnya,” kata jurucakap itu.

Sebahagian daripada 298 orang dalam Penerbangan Malaysia itu, yang kemungkinan besar ditembak jatuh oleh peluru berpandu pemberontak pro-Russia, adalah rakyat Belanda.

Kira-kira 200 mayat diambil dari tempat kejadian di timur Ukraine dan dibawa dalam kereta api sejuk tidak jauh dari situ, menjelang ketibaan penyiasat antarabangsa.

Pemberontak Ukraine berkata mereka mempunyai kotak hitam itu, yang penting bagi siasatan.