PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Wednesday, 6 May 2015

Sultan Nazrin Mahu Ikut Resmi Padi



Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada Sabtu bertitah akan mengikuti resmi padi iaitu semakin berisi semakin tunduk dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Sultan ke-35 memerintah negeri Perak.
Baginda turut akan sentiasa beringat akan pesanan orang-orang tua - ‘mati semut kerana gula’ dan memohon Tuhan supaya dijauhkan diri baginda daripada terjerumus dalam sifat riak.
Sultan Nazrin bertitah demikian di majlis pelancaran buku “His Royal Highness Sultan Nazrin Shah Reflections and Recollections’ oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di sebuah hotel di ibu negara pagi Sabtu.
Turut berangkat ke majlis pelancaran itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dan bonda Sultan Nazrin, Tuanku Bainun.
Baginda merakamkan penghargaan kepada penulis-penulis yang banyak melemparkan ungkapan-ungkapan pujian terhadapanya menerusi tulisan mereka namun ianya tidak akan menengelamkannya malah akan dijadikan cermin untuk melihat ketidaksempurnaan yang masih ada.
“Ulasan, pandangan, unjuran dan saranan yang terkandung dalam esei-esei yang dihimpunkan di dalam penerbitan ini, akan jadikan cermin untuk melihat ketidaksempurnaan yang masih ada, baik atas diri peribadi begitu juga kepada institusi agar langkah pembetulan dan tindakan penambahbaikan dapat dirintis,” titahnya.
Baginda mengakui tidak akan dapat melaksanakannya berseorangan kerana sedar akan harapan tinggi yang disuarakan selain amanah amat berat yang perlu digalas.
Dalam memastikan dirinya tidak tersasar, Baginda memohon perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin yang jauh lebih berpengalaman untuk membimbing serta memberi tunjuk ajar sewajarnya.
"Paduka Adinda amat insaf bahawa Paduka Adinda sedang menempuh satu perjalanan yang panjang untuk merentasi laluan yang penuh dugaan - penuh cabaran, sedangkan Paduka Adinda adalah seorang hamba Allah yang serba kekurangan.
Dengan ilmu panjang sejengkal dan pengajian yang belum khatam, Paduka Adinda masih memerlukan didikan serta asuhan. Oleh itu Paduka Adinda mohon mendapat nasihat bimbingan daripada Paduka Kakanda secara berterusan, memandu Paduka Adinda agar langkah tidak tersalah – agar arah tidak tersasar untuk membolehkan Paduka Adinda selamat sampai ke destinasi yang dituju,” titahya.
Di kesempatan itu, Baginda turut merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada bondanya Tuanku Bainun yang menurut baginda merupakan sumber kekuatan dalaman sepanjang hayatnya.
Penerbitan buku tersebut dihasilkan khusus sebagai persembahan kenangan daripada 28 penulis terdiri daripada kenalan peribadi Sultan Nazrin, ahli akademik, para wartawan, penggiat sosial dan mereka yang pernah berurusan dengan baginda, bersempena pertabalan baginda sebagai Sultan Perak ke-35.
Buku terbitan RNS Publications setebal 265 muka surat ini mengandungi 30 esei. mengandungi artikel dihasilkan penulis dari dalam dan luar negara yang mengenali Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

No comments:

Post a Comment